Arak Punca Tragedi Yang Tragis, Jangan Ada Lagi Jadi Mangsa – Rais Yasin

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Rais Yasin merasa sedih ekoran tragedi yang menimpa rakyat akibat pemandu mabuk.

Katanya, hari demi hari, semakin pilu hati ini tatkala membaca berita tentang kematian rakyat Malaysia yang menjadi mangsa nahas kemalangan gara-gara dilanggar pemandu mabuk.

“Jumlah angka tragedi yang tragis semakin memuncak. Apakah mereka tidak takut dengan hukuman yang bakal diterima lalu dengan beraninya mencabar undang-undang? Mana tidaknya, segenap lapisan rakyat marhein telah pun menjadi mangsa, daripada anggota polis sampailah ke orang awam.

“Setiap kementerian yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas khususnya meminda hukuman yang lebih berat kepada pesalah-pesalah ini, selaras dengan arahan YAB Perdana Menteri kita,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Rais lagi, melihat situasi yang makin kronik kini, beliau sedar patutlah najis arak ini disebut sebagai ibu segala kerosakan akhlak insan.

“Memang berat rupanya ‘mafsadah’ yang berlaku kerana mabuk arak. Malah segala dosa kemungkaran bisa terjadi dalam sekelip mata. Apakah ini natijah daripada kebebasan dan hak asasi mutlak yang sering disuarakan dan diinginkan oleh insan?

“Sampai bila akan ada hujah yang mahu membela suatu kesalahan yang sudah terang lagi bersuluh?

“Adakah sehingga lebih banyak nyawa terkorban atau akhirnya terkena pada batang hidung sendiri baru mahu menginsafi?” soalnya.

Beliau menggesa agar hentikan sandiwara dunia yang sengaja berselindung di sebalik tabir perbicaraan undang-undang.

“Jangan ada lagi yang menjadi mangsa seterusnya kerana kes yang sedia ada pun belum dapat diselesaikan.

“Ya, kita harus akui bahawa ini bukan isu agama mahupun bangsa, jauh sekali isu politik, Tetapi ia isu keselamatan awam yang berupaya meragut nyawa sesiapa sahaja.

“Saya merayu agar kita bersolidariti di atas satu nada perjuangan yang sama untuk menghentikan perbuatan jenayah yang tidak berperikemanusian ini. Semoga Allah SWT melimpahkan maghfirah ke atas roh mangsa dan melindungi kita semua dengan rahmatNya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.