Wanita UMNO Sokong Kajian Semula Akta Pengangkutan Jalan

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk membuat kajian semula terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) khususnya Seksyen 41 hingga 45 mengenai hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara melulu dan merbahaya.

Jelas beliau, ini perlu bagi membendung isu pemandu mabuk yang kini semakin membengkak menjadi barah.

“Wanita UMNO Malaysia berpandangan satu tindakan drastik dan tegas harus diambil segera bagi menangani isu ini kerana secara tidak langsung pemandu mabuk seakan menjadi ‘pembunuh’ dan perkara ini harus dibendung segera.

“Walaupun negara sedang berusaha menangani pandemik COVID-19 namun isu pemandu mabuk ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia sudah mula mendatangkan rasa marah dan tidak puas hati di hati rakyat,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi, akta ini harus ditambahbaik bagi membendung permasalahan berkaitan pemandu mabuk yang seakan tidak takut dengan undang-undang yang mungkin dirasakan tidak tegas.

“Dengan penambahbaikkan akta ini, Wanita UMNO berharap ia dapat memberi pengajaran serta menghindarkan gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.