Pembukaan Semula Sesi Persekolahan, KPM Perlu Segera Cari Solusi – Zahid


KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu segera mencari solusi terbaik bagi merungkai isu pembukaan semula sesi persekolahan bagi memudahkan ibu bapa membuat perancangan awal sebelum sesi bermula selain isu pembayaran yuran di tadika dan taska swasta, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kerajaan tidak boleh memandang enteng isu ini.

“Bagi Ibu bapa yang telah kembali bekerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga berhadapan masalah menghantar dan menempatkan anak-anak di tadika dan taska kerana tadika dan taska tidak beroperasi. Hinggakan ada ibu bapa yang terpaksa mengambil risiko membawa anak ke tempat kerja kerana sudah tiada pilihan lain.

“Kerajaan perlu segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memungkinkan tadika dan taska dapat beroperasi kerana kedua-duanya merupakan kemudahan sokongan kepada ibu bapa yang bekerja,” katanya melalui kenyataan dalam laman soasialnya, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ekoran beberapa hari yang lalu, telah tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial takwim sesi persekolahan yang antara kandungannya menyatakan sekolah menengah akan mula dibuka mulai Jun ini, sekolah rendah (Julai), manakala pendidikan khas, prasekolah dan tadika direhatkan hingga Disember depan.

“Penularan takwim tersebut telah menimbulkan keresahan di kalangan netizen khususnya para ibu bapa dan penafian pantas KPM tentang kesahihan berita tersebut dengan memaklumkan sebarang maklumat berkenaan takwim pembukaan semula sekolah hanya akan dibuat melalui medium rasmi kementerian telah melegakan netizen khususnya ibu bapa.

“Perhatian serius juga perlu diberikan berkaitan dengan isu pembayaran yuran di tadika dan taska swasta yang masih perlu dibayar oleh ibu bapa walaupun sudah hampir 3 bulan anak-anak mereka tidak dihantar ke tadika dan taska.

“Walaupun ada sesetengah tadika dan taska yang memberikan diskaun tetapi tiada sebarang garis panduan khusus atau ketetapan perlu dipatuhi, ianya hanya bergantung kepada budi bicara pihak pentadbiran dan ibu bapa sahaja.”

Jelasnya, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan insentif khas bagi membantu pengusaha tadika dan taska swasta mengurangkan beban yang ditanggung kerana mereka masih perlu membayar gaji kakitangan, sewa bangunan dan pembayaran bil-bil utiliti walaupun tadika dan taska tidak beroperasi.

“Semoga segala usaha dan penat lelah kita semua terutama barisan hadapan negara dipermudahkan dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.