Media Antara ‘Frontliners’ COVID-19, UMNO Malaysia Zahir Penghargaan

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Sepanjang negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, barisan ‘frontliners’ tidak putus-putus memberi khidmat. Media adalah antara ‘frontliners’ yang memainkan peranan bagi memastikan maklumat sahih dan fakta disampaikan kepada orang ramai dengan kadangkala ‘mempertaruhkan’ keselamatan diri.

Justeru, empat agensi media telah dipilih oleh UMNO Malaysia bagi diberi penghargaan atas jasa dan khidmat mereka ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat agensi tersebut adalah Bernama, RTM, Media Prima dan Astro Awani.

“UMNO menghargai setiap jasa dan peranan media dalam meyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Terima kasih kepada barisan media yang sentiasa berusaha menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih,” ujar beliau ketika menyampaikan penghargaan kepada agensi Bernama yang diwakili oleh Pemangku CEOnya, Datuk Mokhtar Hussain di bangunan Bernama hari ini.

Selepas menyampaikan penghargaan tersebut, Ahmad telah dibawa untuk melawat beberapa unit termasuklah unit media sosial Bernama.

Untuk rekod, sempena Hari UMNO yang ke-74 tahun pada 11 Mei baru-baru ini, kepimpinan parti telah memutuskan untuk memberi penghargaan atas jasa dan keringat ‘frontliners’ yang berusaha membanteras penularan wabak COVID-19.

Sebanyak 16 agensi telah terpilih bagi menerima penghargaan tersebut. Antar agensi lain yang dipilih adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.