Tiada masa cerita politik, kebajikan rakyat lebih penting – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 30 Mei – “Saya tiada masa berpolitik, sekarang saya hanya mahu berkhidmat untuk rakyat.”

Demikian luahan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, beliau kini mementingkan kebajikan dan kesusahan
rakyat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya lebih pentingkan untuk bercerita mengenai rakyat berbanding politik. Rakyat ketika ini teruk terkesan dengan COVID-19 dan itu yang lebih penting,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pasar Terbuka Jinjang hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, beliau lebih risau sekiranya ada pekerja tempatan yang dipecat berbanding pemimpin politik yang dipecat.

“Kalau peniaga kena pecat, nak makan pun susah, itu lebih membimbangkan,” katanya.

Tambah Annuar, fokus beliau kini untuk menjaga rakyat dan tidak mahu layan isu politik.

“Saya perlu membantu warga Kuala Lumpur, golongan penjaja dan orang ramai yang terkesan dengan COVID-19 dan PKP.

“Kita perlu mengambil tanggungjawab yang besar untuk membantu rakyat daripada melayan isu tersebut,” katanya.

Terdahulu Annuar turut mengadakan dialog bersama dengan penjaja di pasar berkenaan. – WILAYAHKU

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.