Lanjutkan Tempoh Penangguhan Pembayaran Semula Pinjaman AIM – Norliza Rahim

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Wanita UMNO Malaysia berharap kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung penyambungan semula pembayaran pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Naib Ketuanya, Datuk Norliza Rahim berkata beliau telah dimaklumkan bahawa peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah diminta untuk menyambung semula pembayaran pinjaman bermula bulan hadapan Jun 2020 berikutan penangguhan pembayaran selama tiga bulan sejak Mac 2020 akibat krisis wabak COVID-19.

Menurut beliau, pengumuman menyambung semula pembayaran pinjaman ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan peminjam yang rata-ratanya merupakan pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) yang masih terkesan akibat krisis wabak COVID-19.

“Keputusan pengurusan AIM untuk menyambung semula pembayaran pinjaman bermula bulan hadapan adalah satu tindakan yang wajar dikaji dan dipertimbang semula oleh semua pihak terlibat, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

“Walaupun sebahagian besar perniagaan sudah boleh kembali beroperasi seperti biasa berikutan penetapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), itu tidak bermakna status sesebuah perniagaan dapat kembali ke “statusquo”.

“Saya yakin ramai di kalangan pengusaha-pengusaha IKS, terutamanyaa golongan wanita yang terdiri dari peminjam pelbagai skim yang ditawarkan AIM sedang untuk mengembalikan perusahaan masing-masing ke tahap yang optimum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Datuk Norliza lagi, pihak pengurusan AIM usah risau kerana statistik dari 2019 membuktikan para peminjam AIM yang terdiri daripada golongan usahawan wanita mempunyai antara kadar rekod pembayaran semula pinjaman tertinggi negara yang mencatat kadar 98.71 peratusan.

“Segera pertimbang keputusan ini dan berikan ruang yang sewajarnya kepada para peminjam AIM untuk menstablikan semula perusahaan mereka sebelum meminta mereka memulakan pembayaran semula pinjaman,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.