COVID-19: Amanah Ikhtiar Patut Laksanakan Aspirasi Kerajaan Bantu Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melontarkan persoalan serta ingin mendapatkan penjelasan berhubung keluhan dan rintihan di media sosial berkenaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut beliau keluhan berkenaan yang boleh dilihat di ruangan-ruangan komen Facebook https://www.facebook.com/AmanahIkhtiarMalaysia yang tidak melaksanakan moratorium sepenuhnya seperti agensi-agensi kerajaan yang lainnya perlukan penjelasan lanjut.

“Saya ingin meminta penjelasan berhubung perkara ini. Semua sedia maklum bahawa peminjam-peminjam AIM adalah peniaga-peniaga INDUSTRI KECIL yang sangat terjejas sepanjang tempoh PKP. Ramai yang telah tidak berniaga dan hilang punca pendapatan. Di saat mereka ingin bangkit semula, mereka dibebankan dengan bayaran balik pinjaman tanpa moratorium.

“Sebagai penjelasan, walaupun pelaksanaan PKP tidak sampai dua bulan, tetapi moratorium diberikan selama enam bulan supaya rakyat mempunyai cukup masa untuk bangkit semula daripada kesusahan yang dialami terutamanya peniaga-peniaga kecil,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid setelah lebih dua bulan pelaksanaan PKP bermula yang kini di peringkat PKP-B, rakyat terbanyak sedang bangkit semula daripada kesan ekonomi terutamanya peniaga-peniaga kecil yang terjejas teruk, tidak boleh berniaga sepanjang tempoh PKP yang lalu.

Ujarnya langkah kerajaan yang pro-aktif memperkenalkan polisi ‘moratorium pinjaman’ di hampir semua sektor telah dilaksanakan oleh bank-bank, koperasi-koperasi, dan agensi-agensi seperti TEKUN, PUNB, MARA, PTPTN, PTPK, syarikat-syarikat Kredit Komuniti dan agensi-agensi lain.

“Walaupun terdapat sedikit pertikaian tentang moratorium bayaran pinjaman bank baru-baru ini, tetapi isu tersebut telah diselesaikan dengan pantas dengan kerjasama yang baik antara bank-bank dan pihak kerajaan,” ujar beliau.

Ujar beliau lagi jika diperhatikan tulisan-tulisan rakyat terbanyak di media sosial, sememangnya pelaksanaan polisi ‘moratorium’ yang pro-rakyat ini diterima dengan sangat baik oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya peniaga-peniaga kecil, ditambah lagi dengan BPN yang diberikan.

“Seperti yang saya nyatakan dalam status FB sebelum ini, agensi-agensi serta syarikat kerajaan perlu sentiasa seiring dengan wacana dan aspirasi kerajaan, kerana itulah lantikan politik di dalam GLCs, GLICs dan agensi-agensi kerajaan dibuat supaya pelaksanaan dasar kerajaan dapat dipantau.

“Saya mohon AIM untuk mengambil perhatian berkenaan isu ‘moratorium pinjaman’ ini dengan segera kerana ianya melibatkan ratusan ribu peniaga kecil yang meminjam dan terkesan oleh krisis COVID-19 ini.

“Laman web AIM menunjukkan bahawa AIM masih mengekalkan hampir semua Ahli-ahli Lembaga mereka walaupun kerajaan PN telah mengambilalih pemerintahan. https://www.aim.gov.my/ahli-lembaga/. AIM sepatutnya lebih peka dan bergerak seiring dengan polisi terkini kerajaan sekarang yang prihatin terhadap rakyat,” katanya.- UMNO Online