COVID-19: Beri Mandat Jawatankuasa Mukim, Kampung Tangani Wabak – Dr Adham

PUTRAJAYA, 27 Mei – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan sudah tiba masanya untuk pemerkasaan komuniti diperkukuhkan dalam menangani penularan wabak COVID-19 dan melindungi kawasan hijau di peringkat negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing perlu mengambil peranan dalam membendung serta mempertahankan kawasan atau zon hijau COVID-19 masing-masing supaya tidak berubah atau kembali menjadi kuning dan merah.

Ketika temubual melalui panggilan telefon pada program Selamat Pagi Malaysia hari ini, Dr Adham memberi contoh, hanya satu kes baharu iaitu kes import dilaporkan di Johor pada 24 Mei lalu, manakala tiada kes baharu dilaporkan kelmarin dan semalam.

“Peringkat daerah perlu tubuh jawatankuasa menangani COVID-19 secara penuh dan mereka perlu turunkan mandat ini kepada mukim, kampung dan pengurusan Kawasan Rukun Tetangga.

“Sudah sampai masa untuk negeri ambil peranan dan menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan kawasan hijau supaya tidak jadi kuning atau merah seperti sebelum hari raya tempoh hari,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sedar berlaku peningkatan kes jangkitan baharu yang mencecah tiga angka selepas kira-kira dua minggu kekal dua angka, namun kebanyakannya kes import dan dalam kalangan warga asing di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

Beliau menjelaskan, daripada 187 kes jangkitan baharu yang direkodkan semalam, 155 dikesan dalam DTI, manakala 10 adalah kes import dan hanya empat kes membabitkan jangkitan tempatan.

“Pada masa sama, kadar kes pulih di negara ini adalah pada paras 79 peratus,” katanya.

Kerajaan, katanya, sentiasa bersiap sedia dalam semua aspek untuk menghadapi COVID-19, termasuk kemudahan hospital, makmal, fasiliti kesihatan, perkhidmatan barisan hadapan dan ubat-ubatan.

“Kita mampu bekerja dan memastikan keadaan terkawal, namun kita mahu rakyat semua patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

“Ia penting untuk kita sekat penularan tempatan. Kes import kita boleh kawal kerana mereka disaring di pintu masuk, manakala di depoh tahanan sementara, mereka memang ditempatkan di situ,” katanya. – BHarian