PH Jangan Guna Publisiti Murahan… Jangan ‘Berkokok Berderai, Ekor Bergelumang Tahi’ – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pakatan Harapan (PH) Pahang semakin terdesak melakukan perang psikologi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak lama lagi, bidas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

PH katanya dilaporkan mendesak Kerajaan Negeri Pahang supaya melanjutkan cukai tanah untuk tiga bulan dari 31 Mei hingga 31 Ogos bagi meringankan beban rakyat.

“Gesaan ini dibuat oleh ADUN Semambu, Lee Chean Chung dalam status Facebook beliau bertarikh 21 Mei 2020.

“Namun beliau selalu tertinggal bas dan jelas sengaja mahu mencari publisiti murahan memandangkan Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (MMK ke-20) telah membuat keputusan pada 20 Mei 2020 telah bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah di Negeri Pahang sehingga 31 Julai 2020.

“Kenyataan beliau juga disiarkan pada 25 Mei 2020 oleh Sinar Harian menunjukkan beliau memang gilakan publisiti kononnya dengan gesaan beliau maka Kerajaan Negeri Pahang akur untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah walhal keputusan melanjutkan bayaran cukai tanah telah dibuat sebelum beliau mengeluarkan gesaan,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Jelas ADUN Kuala Sentul itu lagi, Lee perlu menggunakan taktik lain bagi mengaburi mata rakyat Pahang untuk mendapat sokongan politik dan bukan dengan cuba meraih publisiti murahan.

“ADUN Semambu masih menggunakan taktik lapok dengan ‘claim credit’ di atas hasil usaha orang lain mencerminkan ketandusan idea dan kreativiti meneruskan agenda politik PH yang semakin hari ditolak oleh rakyat Negeri Pahang,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang amat prihatin dengan permasalahan rakyat yang terkesan akibak wabak COVID-19 dengan pengagihan bantuan berjumlah RM25 juta telah diagihkan dalam pelbagai bentuk dan tidak terkecuali bagi golongan peniaga yang turut terjejas.

“Menyedari kesulitan yang dihadapi maka Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pahang telah melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah sehingga 31 Julai 2020 yang sepatutnya dibayar pada 31 Mei 2020.

“Kerajaan Pahang juga telah mengumumkan pengurangan kadar cukai tanah bagi kategori industri sebanyak 80 peratus manakala bagi daerah Kecil Gebeng, kadar cukai tanah perindustrian selepas remisyen ialah RM1 berbanding RM5 semeter persegi sebelum ini manakala cukai di daerah Kecil Genting Highlands menjadi 80 sen berbanding RM4 semeter persegi sebelum ini.

“Keputusan ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa mengkaji kesesuaian dan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri di mana sistem percukaian yang mampan akan menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat termasuk mesra kepada golongan peniaga kerana hasil cukai tanah akan di pulangkan kembali kepada rakyat Negeri Pahang dalam pelbagai bentuk sama ada kebajikan rakyat mahupun pembangunan infrastruktur,” ujarnya lagi.

Bidas Ketua UMNO Bahagian Maran itu juga, wakil rakyat PH cuba memainkan isu kenaikan cukai seolah-olah kerajaan negeri yang mereka tadbir tidak menaikkan cukai tanah.

“Lebih parah kerajaan PH di Selangor telah menaikkan cukai tanah pangsapuri di Selangor diantara 500% dan 800%.

“Lebih menyedihkan 20 peratus mereka yang menghuni pangsapuri di Selangor adalah pesara kerajaan yang pada kebiasaannya membayar RM34 kini terpaksa membayar RM292,” katanya.

Terangnya lagi, bukanlah sesuatu yang janggal apabila Kerajaan Negeri Pahang menaikkan cukai tanah terutama kepada golongan peniaga dan perindustrian memandangkan cukai tanah kawasan perniagaan dan perindustrian sudah lama tidak dinaikkan serta sesuai dengan masa.

“Selama ini mereka menikmati keuntungan yang berganda sedangkan kerajaan negeri mendapat cukai yang sangat minima.

“Sekurang-kurangnya kerajaan negeri tidak menaikkan cukai tanah yang di duduki rakyat marhaen berbanding Kerajaan PH Selangor yang mencekik darah rakyat marhaen.

“Jadi eloklah ADUN Semambu, Lee Chean Chung memberikan nasihat kepada Kerajaan PH Selangor berbanding mencari publisiti murahan berkaitan kenaikan cukai di Pahang. Kata orang tua seperti ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Busuk,” tempelaknya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.