Semangat Aidil Fitri Dan Kembali Kepada Fitrah – Mohamad

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata telah tiba fajar 1 Syawal dan telah berlalunya Ramadhan yang sangat barakah.

Katanya, semoga Ramadhan yang berlalu adalah Ramadhan yang terbaik buat kita dan semoga Allah mempertemukan kita dengan Ramadhan yang akan datang, Insyallah.

“Marilah kita menyambut 1 Syawal ini dengan semangat sebenar Aidil Fitri, iaitu dengan kembali kepada fitrah. Memuji dan mengangkat kebesaran Allah, menginsafi betapa fananya kita sambil saling bermaafan dan menerima segala kelemahan dan kebaikan orang lain sejujur dan seadanya. Tiada kesalahan yang terlalu kecil untuk dibiarkan tanpa maaf dan tiada kesilapan yang terlalu besar sehingga tidak layak diberikan kemaafan.

“Tahun ini, sambutlah Aidil Fitri dengan hanya bersama keluarga kita, tanpa ziarah menziarahi dan keraian seperti lazimnya. Kita masih lagi dalam kemaslahatan akibat wabak dan semoga kita redha dengan ketentuan ini.

“ Manfaatlah ruang waktu dengan bertakbir dan bertahmid dan panjangkanlah silaturrahim dengan saudara-mara serta sahabat handai melalui panggilan video …Insyallah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berserta keluarga, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan terimalah permohonan maaf setulusnya atas segala silap dan salah kami.

“Akhir sekali, kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sangatlah dituntut. Kita mesti menangguhkan segala perjalanan dan kunjung-mengunjung demi kemenangan yang lebih besar dalam membasmi wabak COVID 19 ini.

“Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.