Salam Aidilfitri, Gunakan Aplikasi Digital Untuk Dekatkan Diri Bersama Keluarga – Shahril


KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dengan mengajak orang ramai untuk menggunakan aplikasi digital bagi mendekatkan diri bersama ekoran pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksana kerajaan.

Katanya, sudah tentu perayaan Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun yang lalu.

“Setelah sebulan berpuasa menunaikan ibadah, menahan hawa nafsu, mencapai diri ke arah lebih baik, insya-Allah kita bawalah segala bekalan, segala pengajaran dan segala penambahbaikan dalam diri kita ke bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya.

“Sudah tentu perayaan Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun yang lalu tetapi kita boleh gunakan aplikasi digital untuk mendekatkan diri bersama-sama ahli-ahli keluarga yang tak dapat kita nak bersemuka.”

Yang penting katanya, kita mengamati erti sebenar perayaan Aidilfitri itu iaitu kejayaan mengalahkan hawa nafsu dan kejayaan untuk beribadah kepada Allah SWT.

“Semoga segala amalan itu kita bawa sebagai bekalan bukan hanya untuk diri kita tetapi juga untuk perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi dalam ucapan khas sempena Aidilfitri.

Dilaporkan, PKPB dilaksana susulan pandemik COVID-19 dengan kerajaan menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi pada setiap perayaan dalam masa terdekat ini hanya dihadkan pada hari pertama sahaja dan hanya terhad kepada 20 orang pada hari tersebut terdiri daripada ahli keluarga terdekat sahaja. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.