Retak Menanti Belah, Sabah Terumbang Ambing Akibat Nafsu Serakah Warisan – Ghazalie

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Rakyat Sabah hari ini amat terkesan dan kecewa lantaran pentadbiran kerajaan negeri di bawah Warisan yang ternyata gagal melaksanakan amanah malah dikatakan parti tersebut ibarat retak menanti belah.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing melahirkan rasa sedih dengan kenyataan Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman yang mengatakan kerajaan hari ini telah membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sedangkan Warisanlah merupakan ‘The Real Back Door Government, And No One Can Deny It’.

“Ibarat meludah ke langit… kerajaan Warisan yang terbentuk pada hari ini adalah hasil daripada ‘kerajaan pintu belakang’ yang mana semua rakyat mengetahuinya di mana mereka ‘membeli’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk menyertai mereka.

“Nafsu serakah Warisan yang terlalu inginkan kuasa ini menyebabkan negeri Sabah berada dalam keadaan yang terubang-ambing dan tiada hala tuju… manakan tidak berhala tuju kalau kapal yang dinaikinya merupakan kapal buruk dan layarnya koyak rabak menanti karam.

“Itulah hakikatnya… rakyat Sabah semakin dihimpit dengan kesengsaraan tanpa sebarang pembelaan. Ini dapat dilihat dari segala aspek bantuan rakyat hinggalah kepada pembangunan negeri sepanjang mereka berkerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau juga menjelaskan, sepanjang dua tahun kerajaan Warisan memerintah Sabah tiada sebarang keistimewaan yang diberikan kepada rakyatnya.

“Apa pembangunan yang telah dilakukan dan kenapa rakyat makin bertambah susah, peniaga semakin mengeluh, adakah ini satu petanda baik untuk Sabah dan rakyatnya?” soalnya.

Jelasnya, kelemahan dan ketidakbijaksanaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan semua pemimpin Warisan yang mentadbir negeri ketika ini kononnya berkonsepkan ‘Sabah for Sabahan’, tetapi apa yang berlaku ‘Sabah for My Crony’.

“Kemana semua bantuan yang telah di umumkan? Tidak hairanlah kalau rakyat Sabah menggelar pemimpin Warisan sebagai ‘Pemimpin Pengumuman’ sahaja.

“Dakwa mereka… terdapat Adun-adun Warisan utuh di belakang pemimpinnya? Betul ke utuhnya, kalau tidak manakan pokok bergoyang kalau tiada yang goyang,” katanya.

Ujarnya, tiada siapa pun dapat menafikan pembangunan dan kepesatan negeri Sabah yang telah dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sehinggakan semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan suku kaum terbela. ujarnya.

“Tidak seperti Warisan pada hari ini. Sebenarnya, apa yang telah dikatakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin adalah benar, mengenai lompat dan lompatan wakil rakyat. Ini kerana jika tiada lompatan, Warisan pun tidak membentuk kerajaan pintu belakang pada hari ini.

“Ketua Wira sudah panik ka? Jangan takut kalau YB kamu lompat sebab kamu yang ajar. Lihat di cermin dahulu sebelum membuat kenyataan, jangan cuba kencing ke langit akhirnya terkena muka sendiri. Cukuplah kamu kencing rakyat, rakyat Sabah tidak akan membenarkan mereka ditipu dan dikencing untuk kali kedua…’enough is enough’,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.