PN Kedah: Ketepikan Perbezaan, Bersatu hati Demi Masa Hadapan – Suraya

ALOR SETAR, 22 Mei – Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob menyeru semua pihak khususnya warga tempatan agar berlapang dada, mengenepikan perbezaan lalu, bersatu hati dan memberi dokongan padu kepada saf kepimpinan Kerajaan Negeri yang baharu demi masa depan negeri Kedah.

Katanya, dalam tempoh yang singkat peluang perlu diberikan untuk memperkukuh kembali kestabilan politik dan pentadbiran, serta memperkemas dasar-dasar Kerajaan Negeri agar selaras dengan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan, bagi memacu negeri kesayangan kita ini ke arah masa depan yang lebih baik.

“Sesungguhnya saya menyedari beratnya amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini. Namun berbekalkan iltizam, pengalaman, semangat dan doa dari semua pihak, saya akan terus memberi khidmat sebaik mungkin kepada rakyat negeri Kedah, sedaya mampu membawa kesejahteraan kepada bumi jelapang padi ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dalam facebooknya hari ini selepas runtuhnya kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan di negeri tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang baharu pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor dan memberi kepercayaan kepada beliau menggalas sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, bagi portfolio Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga.

“Saya juga mengharapkan kerjasama erat dari semua pihak khususnya rakyat negeri Kedah untuk bersama Kerajaan Negeri membina serta memberi nafas baharu ke arah kemajuan dan pembangunan negeri untuk dinikmati bersama.”

Beliau juga mengajak rakyat untuk terus patuh kepada arahan kerajaan bagi memastikan penularan COVID-19 terputus.

“Kesempatan ini juga, saya memohon agar kita semua patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri masing-masing dari ancaman Covid-19. Walau diberi sedikit kebebasan oleh PKPB, ingatlah bahawa kealpaan kita mampu membawa padah,” katanya.

Dilaporkan, pada 12 Mei lalu Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kesemua mereka hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyebabkan kerajaan PH hilang kuasa mentadbir negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.