Aidilfitri, Kemenangan Selepas Ramadan Dan Tekad Menentang COVID-19 – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Aidilfitri yang bakal dirai bukan hanya tanda kemenangan selepas Ramadan tetapi juga tekad dalam kemenangan untuk melawan pandemik COVID-19 tanpa bersama keluarga dengan melaksanakan penjarakan sosial serta mematuhi peraturan yang ada, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, sudah semestinya sambutan hari raya pada tahun ini sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang dirai dengan kunjung mengunjung, balik ke kampung dan berkumpul bersama sanak-saudara serta rakan taulan.

“Pada tahun ini oleh kerana kita sedang menghadapi pandemik COVID-19, dan larangan daripada kerajaan maka kita tak dapat merikan sebagaimana tahun-tahun lalu. Saya berharap walupun dalam suasana COVID-19, kita raikan Aidilfitri bersama dengan keluarga dimana saja kita berada dan kita dapat menghadapi dengan
penuh ketabahan,” katanya dalam ucapan khas sempena Aidilfitri.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut mengajak semua ahli-ahli UMNO untuk mengeratkan silaturrahim dan bersatu agar beroleh kejayaan.

“Pada seluruh ahli UMNO dan pejuang-pejuang UMNO di seluruh negara, marilah kita bertekad untuk memenuhi hasrat hati nurani kita untuk berjuang bersama-sama.

Eratkanlah silaturrahim, kita bersatu, kita solidariti dan tidak berpecah-belah maka insya-Allah kita akan beroleh kejayaan. Berjuanglah untuk agama, bangsa dan negara.”

Ekoran pandemik COVID-19, kerajaan menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi pada setiap perayaan dalam masa terdekat ini hanya dihadkan pada hari pertama sahaja dan hanya terhad kepada 20 orang pada hari tersebut terdiri daripada ahli keluarga terdekat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.