Aidilfitri Dalam PKPB, Raikan Dengan Penuh Kesyukuran – Khaled

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun itu tidak bermakna hari raya Aidilfitri tidak boleh disambut dengan meriah.

Jelas beliau, hari kemenangan umat Islam ini perlu disambut dengan penuh kesyukuran dalam suasana norma baru.

“Kita bakal menyambut hari raya setelah sebulan berpuasa… hari raya adalah hari kemenangan kepada kita. Jadi, kita perlu bersyukur dan menyambut hari kebesaran ini bersama-sama dalam norma baru.

“Kita boleh menyambut penuh kegembiraan walaupun ketika ini dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 tapi sudah pastilah suasana yang diraikan berbeza dari dulu.

“… namun itu tidak bermakna kita tidak boleh sambut dengan penuh kegembiraan, maka bersyukurlah sewajarnya,” ujar beliau dalam ucapan khas sempena hari raya Aidilfitri.

Khaled turut berpesan, walaupun orang ramai tidak boleh pulang ke kampung namun jangan sesekali melupakan sanak-saudara dan mereka yang memerlukan perhatian.

“Dengan itu, saya mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat baik yang berada dalam mahupun luar negara,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.