Xavier Biadap, Hina YDP Agong Dan Dewan Rakyat – Muafakat Nasional Selangor

SHAH ALAM, 21 Mei – Muafakat Nasional Selangor menyelar kenyataan biadap yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar dan mesti dikenakan tindakan tata tertib serta displin sebagai satu tindakan tegas dan mendidik agar insiden seperti itu tidak berulang.

Kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dalam satu kenyataan bersama, kenyataan yang dikeluarkan oleh Xavier menerusi satu video selepas sidang Parlimen 18 Mei lalu merupakan satu tindakan biadap serta tidak wajar kerana disifatkan menghina Yang di-Pertuan (YDP) Agong dan Dewan Rakyat.

“Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli sewajarnya menghormati persidangan yang berlangsung selama sehari tersebut dan menghayati isi kandungan titah YDP Agong yang dibentangkan.

“Jangan kerana kehilangan kuasa, beliau sudah tidak lagi bertindak secara waras sehingga semua perkara ingin dipertikai dan dihina dengan melulu.

“Adakah beliau masih tidak sedar bahawa sikap sebeginilah yang menjadikan rakyat Malaysia khususnya di kalangan masyarakat Melayu Muslim benci dan meluat kepada mereka serta tidak peduli sensitiviti yang patut diperlihara serta tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada Institusi Diraja,” kata mereka lagi.

Untuk rekod, video Xavier yang berdurasi selama hampir tiga minit itu menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu adalah ‘sampah’ dan tidak berguna kerana semata-mata hanya duduk mendengar titah YDP Agong tanpa ada sebarang perbahasan dan agenda mesyuarat yang lain.

Jelas Muafakat Nasional Selangor lagi, dalam situasi sekarang, rakyat mahukan kerajaan dan semua ahli politik bekerja ke arah menangani COVID-19 sama ada dalam prospek keselamatan nyawa serta pembaikpulih ekonomi.

“Ahli politik perlu beringat agar tidak hanya bermain sentimen politik kebencian dan kebiadapan sedangkan penjawat awam serta rakyat umum sedang dalam bertungkus lumus memastikan kejayaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini,” kata mereka yang juga menyeru rakyat khususnya di Selangor mengambil tindakan dengan membuat satu laporan polis ke atas tindakan Xavier itu.

Muafakat Nasional Selangor juga menyeru kepada seluruh rakyat negeri itu untuk terus bersatu padu dalam mendokong gagasan tersebut bagi membentuk gelombang agar memastikan pilihan raya umum yang akan datang, Negeri Selangor tidak lagi berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.