Tiada Lagi Rentas Negeri – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 21 Mei – Tiada lagi pergerakan rentas negeri yang dibenarkan selepas ini, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, susulan masih ada yang beratur panjang di balai polis untuk mendapatkan kebenaran balik kampung seperti yang berlaku di Kuantan, semalam.

“Walaupun setiap hari diberi nasihat, peringatan, semalam laporan PDRM sewaktu mesyuarat pagi tadi di Kuantan seramai 1,300 orang beratur di balai polis daerah Kuantan mohon kebenaran pulang kampung.

“Oleh itu saya ingin tegaskan mesyuarat putuskan bahawa pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan. Jadi tak perlu beratur panjang kerana polis tidak akan benarkan, kita tidak akan membuka lagi ruang untuk rentas negeri ini, ‘no more’ rentas negeri,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata pergerakan rentas daerah masih dibenarkan tanpa had waktu dan orang awam bebas untuk bergerak dalam negeri yang sama.

“Tetapi kalau nak bergerak rentas daerah semasa hari raya, kita kena menilai sendiri bahaya kepada orang di sekeliling. Kalau dah melebihi 20 orang berkumpul di rumah yang nak dituju, lebih baik sambut raya di rumah sendiri sahaja.

“Ini cara (untuk) pastikan tidak akan berlaku kluster balik kampung,” katanya.

Semalam, sebanyak 2,412 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis.

Sementara itu, mengulas mengenai isu tular di media sosial berkenaan seorang pemilik akaun Facebook Mohd Sayuti Omar yang menyatakan bahawa dia berjaya merentas negeri pulang ke kampung untuk beraya dan mendakwa tiada sekatan jalan raya sepanjang perjalanan, Ismail Sabri berkata beliau percaya polis akan mengambil tindakan ke atas individu tersebut.

“Saya rasa Mohd Sayuti ini pun mungkinlah polis akan cari… mungkin ada juga jalan tertentu dan lorong-lorong tikus yang menyebabkan mereka lepas untuk balik.

“Kalau perkara seperti ini, lepas balik kampung tidak bermakna terlepas daripada undang-undang apabila nak balik ke Kuala Lumpur atau ke tempat kerja. Jadi yang terlepas ini saya percaya polis akan cari juga,” tambahnya.

Dalam sidang media yang sama beliau juga berkata rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi hanya di zon hijau mulai 10 Jun.

Bagaimanapun katanya, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk bilangan yang hadir tidak melebihi 30 orang dan tertakluk kepada saiz dan keluasan rumah ibadat berkenaan.

“Kalau rumah ibadat kecil dan tidak boleh memuatkan 30 orang, maka jumlah yang berada di dalamnya perlu kurang daripada jumlah itu, tidak boleh berhimpit-himpit,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, warga emas berumur lebih 70 tahun dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke rumah ibadat berkenaan.

Saringan suhu badan, penyediaan cecair pencuci kuman dan pemakaian pelitup separuh muka juga adalah sebahagian daripada SOP yang ditetapkan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.