Utamakan Agenda Nasional, Demi Kelangsungan Bangsa Kembali Kepada UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan bahawa nilai kehebatan bangsa dengan keutamaan terhadap agenda nasional hanya akan dapat diperkukuh apabila semua pihak bersatu.

Lantaran itu katanya, parti-parti yang kecil boleh kembali kepada UMNO dan perkukuhkan semula parti tersebut untuk meneruskan perjuangan.

“Parti yang memerintah sekarang ini berada dalam keadaan yang ‘fragile’ kerana tidak ada fundamental yang kuat. Dulu negara ini boleh kuat dan dikenali kerana ada fundamantal yang kuat, ada parti yang menjadi tunjang dalam negara, tapi hari ini semua orang boleh mendesak atau boleh bercakap dan boleh membawa
agenda masing-masing namun agenda nasional yang paling penting.

“Katakanlah rakan-rakan dalam Parti Bersatu boleh kembali kepada UMNO dan UMNO boleh menjadi kuat, maka berjuanglah. Ini kerana kita perlu lihat kepada generasi seterusnya…. inilah nilai bangsa kita untuk kembali diperkuatkan.

“Orang akan menilai kehebatan kita apabila kita boleh bersatu, bukannya kita nak tunjukkan kekuatan kita terhadap orang yang dah pecat kita, atau nak balas dendam dan ada rasa ego dalam diri kerana ini semua perlu diuruskan demi masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, soal Melayu lebih penting dari segala-galanya dan ia mesti dilihat kepada ruang yang lebih besar daripada sentimen dan emosi, walaupun ada yang melukakan hati atau perkara-perkara lain terpaksa dilupakan.

“Jika sebelum ini parti-parti pembangkang termasuklah Dap telah berpakat untuk menumbangkan kerajaan yang ada dan berjaya tapi sekarang ini sudah fasa yang lain kerana parti sana sudah berpecah, ada yang masuk dalam kerajaan dan ada yang jadi pembangkang.

“Majoriti yang ada dalam kerajaan adalah yang sudah boleh bersama dengan UMNO… ertinya falsafah kenapa mereka tak boleh bersama UMNO sudah digugurkan dan tidak menjadi asas yang penting. Kalau nak kata kleptokrasi, perompak dan lain-lain…. lihat apa yang Dap tak kata pada Tun Mahathir, pada anak-anaknya, pada Mat Sabu….

“Itu kalau dikatakan nak memurnikan pentadbiran maka ruang dah ada. Ini kerana kerajaan yang kononnya mendakwa mereka lebih murni daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal, dikatakan boleh jadi lebih baik, boleh memerintah tapi terbukti telah gagal.”

Beliau berkata demikian menerusi Segmen Wawancara Khas Sempena Hari UMNO ke-74 tahun yang disiarkan melalui laman facebook UMNO-Online malam tadi.

Terdahulu Shabery mengambil analogi bagaimana Parti Semangat 46 dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai UMNO demi kelangsungan perjuangan bangsa.

“Membubarkan parti bukan perkara mudah kerana ia memerlukan sokongan dua pertiga daripada ahlinya. Ada yang hilang segalanya termasuk jawatan dan sebagainya tapi akhirnya kesatuan organisasi orang Melayu dapat diperkukuhkan.”

Terang Shabery, UMNO adalah parti yang berstruktur dan terkuat dalam mana-mana parti politik yang ada sekarang ini.

“Berbanding dengan parti Bersatu, UMNO mempunyai pengaruh yang sangat kuat, mempunyai struktur dan organisasi, di peringkat pusat, di setiap negeri ada bangunannya sendiri… ada akar umbi yang menjadi tunjangnya.

“Walaupun nasih dalam keadaan kritilkal tetapi dalam blok politik UMNO masih kuat dan UMNO boleh menjadi kukuh kembali atau akan habis selepas ini hanya akan diketahui selepas pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi.

Dalam isu yang lain, beliau turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat yang bertitah memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terlebih dahulu sentiasa terjamin dan terbela.

“Orang dapat melihat tentang bagaimana percanggahan politik yang berlaku, konflik yang berlaku dan akhirnya mereka tunduk dan akur kepada YDP. Bayangkan negara yang tidak ada satu tonggak di atas, maka tentunya perbalahan berpanjangan.

“Di sinilah orang melihat peranan YDA, terpaksa akur. Mereka rasa dengan menang majoriti dalam Dewan Rakyat, boleh kuasai media sosial dan boleh berarak dijalanan namun akhirnya akur dengan titah YDA. Inilah Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara… inilah pentingnya sistem beraja dan betapa pentingnya Perlembagaan negara dipelihara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.