Titah Diraja Bukti Jelas Keabsahan Kerajaan PN – Kepimpinan PN

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin lalu, menjadi bukti jelas keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk, berasaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kepimpinan parti politik PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan, titah baginda itu juga memberi dorongan semangat dan kekuatan kepada kerajaan PN, untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Paling penting bagi kerajaan adalah pelaksanakan amanah, bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dinyatakan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan; dan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abdul Rahman Abang Zohari Tun Abang Openg.

Kerajaan PN turut menjunjung titah Seri Paduka, yang berkehendakkan keutamaan sentiasa diberi kepada kesejahteraan rakyat jelata.

Dalam Titah Diraja itu, Al-Sultan Abdullah antara lain bertitah, pelantikan Perdana Menteri kelapan dibuat selepas parti-parti politik diberi masa yang mencukupi untuk membuat perhitungan secara demokrasi, bagi menamakan calon masing-masing.

Baginda juga menitahkan ahli-ahli politik agar jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu, ketika rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat wabak COVID-19. – BERNAMA