Sesi Penggambaran Dalam Tempoh PKPB Dibenarkan Dengan SOP Ketat – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 20 Mei – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kebenaran aktiviti penggambaran akan bermula selepas perayaan Aidilfitri dan pihak produksi perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian, mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran.

“Syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi. Perkhidmatan bufet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata jurusolek dan penata rias juga perlu menggunakan pelindung muka dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas membuat dandanan artis yang terlibat.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.