Negara Kelam-kabut, 22 Bulan Terlalu Banyak Kelemahan PH – Norliza

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kegagalan dan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi bukti bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO lebih baik mentadbir serta mengurus negara.

Ujarnya, sepanjang 22 bulan memerintah, kelemahan-kelemahan dalam kerajaan PH terlalu banyak.

“Kelemahan ini kalau dikaji balik, sebenarnya mereka tidak menjangkakan akan jadi kerajaan (sebab itu) membuat manifesto yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Jadi dia sendiri tak jangka akan jadi kerajaan tiba-tiba jadi kerajaan…mereka tiada visi yang betul untuk rakyat, lebih kepada berdendam, agenda peribadi, kepentingan peribadi melebihi kepentingan untuk mengurus sebuah negara.

“Kelemahan mereka memberi faedah kepada UMNO itu sendiri kerana kita dan rakyat dapat lihat lagi kelam-kabut negara di bawah kerajaan PH. Kegagalan PH itu bermakna juga rakyat percaya bahawa kita lebih baik mentadbir,” katanya lagi.

Norliza berkata demikian di dalam Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 tahun, yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk’ Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Isnin malam.

Ulas Norliza juga, apabila termeterai Muafakat Nasional, rakyat khususnya orang Melayu dan Islam sudah nampak mereka kembali bersatu.

“Ini memang sangat digeruni oleh Dap. Sebagai contoh saya dari Pulau Pinang, tahu ada kaum tertentu yang tidak suka dengan Muafakat Nasional ini.

“Kita dapat lihat wujudnya Muafakat Nasional ini kita menang pilihan raya (kecil) satu demi satu disebabkan kita tidak pecah undi kita,” katanya.

Seterusnya tambahnya lagi, strategi tersebut harus dipelihara dan parti perlu mempunyai sifat anjal, terbuka menerima pihak yang mahu bersama.

“..barulah kita boleh jadi kuat. Bila jadi kuat, kita akan dapat tangani negeri-negeri yang dahulunya ditadbir oleh PH.

“Bagi saya kelemahan utama PH adalah agenda peribadi masing-masing terlalu banyak daripada agenda untuk rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.