Jasa UMNO Terlalu Banyak, Ulang Tahun Parti Wajar Diulang Dan Dikenang – Tokoh Melayu Terbilang

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Tokoh Melayu Terbilang Tan Sri Mohd Yusof Latif menegaskan UMNO mempunyai jasa yang tersendiri dalam pelbagai aspek serta bidang di negara ini sejak penubuhannya sekian lama dan amat wajar ulang tahunnya diulang-ulang serta dikenang terutama oleh generasi muda hari ini.

Mengimbau antara jasa parti keramat tersebut, beliau membuka sejarah bagaimana dalam satu Perhimpunan Agung UMNO, satu usul telah diluluskan dalam aspek pendidikan dan perkara berkenaan menjadi realiti serta terus memberi manfaat yang bermakna kepada anak-anak bangsa.

“Saya masih ingat… ketika dalam Mesyuarat Agung UMNO salah satu usul pada ketika itu, iaitu pembinaan isntitut Mara. Setelah kita bersetuju usul berkenaan maka kita dijemput hadir untuk meletakkan batu asas di Shah Alam oleh Allahyarhan Tun Razak dan itu antara mercu yang cukup hebat untuk memberi anak-anak Melayu cemerlang dan gemilang di tanah air. Inilah antara hasil perjuangan UMNO.

“Kepada generasi muda ingin saya merayu kerana kita tidak ada parti lain yang telah berjasa membina negara ini. Kejayaan anda sebagai profesional dan orang-orang yang berpelajaran dan sebagainya lagi adalah hasil perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Segmen Wawancara Khas sempena Ulang Tahun UMNO ke-74 bersama Tokoh Melayu Terbilang, Tan Sri Mohd Yusof Latiff.

Kata Tan Sri Mohd Yusof, generasi muda terutama orang Melayu anggaplah dan terimalah UMNO ini sebagai parti yang cukup berjasa kepada negara, bangsa malah bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada bangsa lain seluruhnya.

“Janganlah kita anggap satu dua pemimpin salah kita maki UMNO… maki UMNO berdosa kerana parti UMNO adalah parti keramat yang melahirkan kita generasi yang berjaya hari ini.

“Saya rasa sedih kadang-kadang dengan ucapan Tun Dr Mahathir… UMNO bukan pencuri kerana Tun sendiri pun pernah memimpin UMNO. Jangan kata UMNO… kalau sebut pemimpin… pemimpin sajalah dan mereka sedang didakwa. Janganlah tuduh sebarangan.

“Kalau kita maki ‘emak’ kita… anggaplah UMNO ini sebagai ibu dan bapa yang telah melahirkan kita untuk bangsa Melayu. UMNO tidak memperjuangkan selama 74 tahun dengan pelbagai usul dikemukakan… dan tidak patutkah kita bersyukur kepada Allah sedangkan UMNO ini telah berjasa kepada kita?” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut melontarkan pandangan agar pemimpin UMNO di semua peringkat mengubahsuai gerak kerja mengikut keadaan dan amat wajar parti mendekati institusi pengajian tinggi yang merupakan tempat kalangan generasi muda.

“Saya pernah memberikan syarahan di universiti dan sebagainya lagi. Pernah dipersoalkan oleh seorang pelajar bagaimana untuk menghormati dan menjaga UMNO sepertimana yang saya katakan sebelum ini… dan pada masa itu Tun Dr Mahathir masih berada di dalam UMNO….

“Pelajar terbabit mengatakan bagaimana untuk menghormati UMNO sedangkan bekas pemimpin UMNO kutuk parti berkenaan. Lalu saya mengatakan itu adalah permainan politik dan kalau UMNO tidak ada anda tidak berada di dalam dewan institusi pengajian tinggi hari ini. Terus pelajar tersebut mengucapkan terima kasih. Ini antara yang perlu diterangkan dan wajar pemimpin UMNO turun padang. Bermakna kita perlu mendekati rakyat di bawah dan keyakinan kita perlu ada, maka insya-Allah kita akan berjaya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.