Titah Yang Tepat, Jadi Panduan Pemimpin Dan Rakyat- Ahmad

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan teramat teruja amat teruja dengan ucapan Titah Tuanku Yang Di-Pertuan Agong pada istiadat pembukaan penggal ketiga Parlimen yang Keempat Belas pada hari ini.

Katanya, Tuanku menjelaskan bahawa naratif politik negara telah digegarkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tuanku menjelaskan bahawa apa yang Baginda lakukan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8 adalah selaras dengan konsep ‘Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen’.

“Tuanku juga bertitah antara lain agar Ahli Parlimen dan kerajaan menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip adil, berbudaya politik bersih, berpolitik matang yang positif agar dicontohi oleh rakyat jelata.

“Saya menjunjung kasih atas nasihat yang sangat berguna itu dan akan mengamalkannya dalam khidmat sebagai Ahli Parlimen Pontian dan SUA UMNO. Titah itu sangat tepat pada waktu negara sedang menghadapi cabaran yang besar ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad lagi, rakyat sedang mengalami kesukaran hidup berhadapan COVID-19. Maka itu perlu sangat ahli politik bertindak secara prihatin dengan situasi semasa dan tidak menambah kesukaran dengan perbuatan yang boleh menimbulkan ketidakstabilan pemerintahan.

“Ekonomi negara diancam dengan pelbagai cabaran luar seperti perang dagang China-USA, kejatuhan harga minyak, halangan perdagangan oleh negara tertentu, komoditi sawit yang dikait dengan alam sekitar dan pandemik COVID-19 seumpama perang dunia ketiga.

“Kita perlu merancang dengan teliti untuk mengadakan pakej rangsangan khas tambahan bersepadu yang baru, Bajet 2021 yang mantap dan RMKe-12 yang menyeluruh bagi membangkitkan semula ekonomi negara. Adalah perlu segera pemikir dan pembuat dasar duduk berunding untuk menghasilkan idea bernas bagi membina semula ekonomi rakyat dan ekonomi negara.

“Ayuh mulakan dengan hashtag #MalaysiaBangkit #RakyatBangkit, #PerangiCOVID hingga kita menang dan berdiri semula setelah kita jatuh. Jangan ditanya berapa kali kita jatuh, namun yang lebih penting ialah berapa kali kita berjaya untuk bangkit kembali,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.