Berilah Kepercayaan Kepada UMNO, Tekad Untuk Terus Bela Rakyat – Noh

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar menyeru semua pihak khususnya ahli-ahli UMNO agar memberikan kepercayaan kepada parti untuk terus menjadi pembela rakyat.

Katanya, kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu memberikan banyak hikmah dan kini UMNO bergerak berdasarkan perubahan yang telah dilaksana.

“Banyak perubahan yang telah kita lakukan dan kami akan bersama-sama dengan rakyat, berilah peluang dan kepercayaan kepada UMNO untuk terus jadi pembela kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata demikian dalam segmen ‘Hard Truth’ mengupas isu ‘UMNO: Mendepani Cabaran Politik Alaf Baharu’. Segmen ini adalah terbitan Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Noh yang baru dilantik sebagai pengerusi UMNO Selangor berkata jawatan tersebut bukanlah satu kebanggaan tapi sebaliknya adalah tanggungjawab yang amat berat.

“Saya melihat apabila rakan-ketua-ketua Bahagian, Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO di Selangor ini tidak pernah putus asa maka sebab itulah saya yakin bahawa kita akan bersama-sama dalam perjuangan.”

Jelasnya, sebagai pemimpin beliau telah melakukan kajian dan mencari punca kekalahan BN dengan menjadikan kawasannya sendiri iaitu Parlimen Tanjung Karang sebagai kawasan kajian.

“Saya melihat punca BN kalah yang pertama ialah fitnah kepada Datuk Seri Najib hinggakan sampai hari ini pun masih ada rasa tak puas hati dengan Datuk Seri Najib seperti Datuk Seri Mukhriz yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah tumbang pun sebab Datuk Seri Najib… sedangkan di Kedah, UMNO cuma ada dua kerusi saja tapi semua jadi salah Datuk Seri Najib.

“Saya nak cakap pada mereka, cukup-cukuplah, jangan bangkitkan dosa sedangkan kamu yang tak boleh ‘handle’ Kedah tapi masih salahkan orang,” bidasnya.
Beliau berkata, punca kedua kekalahan BN ialah janji-janji PH yang akhirnya mengakibatkan mereka sendiri tumbang ekoran janji yang gagal ditepati.

“Punca ketiga BN kalah ialah tanding tiga penjuru – BN, PH dan PAS. Saya sendiri lihat PDM yang kalah apabila ada lebih 20 peratus pengundi bukan Melayu… maka kalah, kerana undi bukan Melayu ‘solid’ kepada PH, tapi undi Melayu pecah kepada tiga.”

Sehubungan itu, beliau menzahirkan keyakinan dengan adanya Muafakat Nasional (MN) yang dimetrai antara UMNO dan PAS maka kuasa kerajaan negeri akan beralih arah.

“Jika MN diperkuatkan maka saya yakin kita akan bangkit semula di Selangor… sebab itu langkah pertama saya telah adakan mesyuarat dan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS iaitu membincangkan bagaimana cara nak kuatkan MN.

“Salah satu adalah perkuatkan di peringkat bawah dan secara kebetulan, akan ada dua ketua kampung iaitu satu dari PH dan di kerajaan pusat akan lantik satu juga. Jadi inilah satu cara bagaimana nak tunjuk apa keikhlasan kita… kita bersama PAS… sekarang kita dah ada kawan baru, tak boleh ikut cara lama.

“Kita jangan lupa bahawa kerajaan pusat hari ini adalah Perikatan Nasional (PN) tetapi kita mesti perkukuh MN. Apa-apa pun perlu bersatu dan berbincang baik-baik kerana fokus kita adalah untuk bantu rakyat, maka laksanakan bersama-sama dalam MN, kita bukan ikut cara UMNO saja tetapi dilakukan bersama-sama dengan rakan-rakan kita termasuklah dengan MCA dan MIC juga.”

Tegas beliau lagi, pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi mendapatkan sokongan dari semua bangsa tanpa meminggirkan mana-mana kaum kerana setiap bangsa mesti diberikan layanan berlandaskan keadilan sosial bersama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.