PN Tumpu Bantu Rakyat Daripada Berpolitik – Annuar Musa

KOTA BHARU, 17 Mei – Kesemua parti di dalam Perikatan Nasional (PN) bertekad untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan tidak tertumpu untuk berpolitik pada masa sekarang.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, PN sekarang mempunyai cabaran besar khususnya pada pasca Covid-19 di mana tugas utama adalah untuk membantu meringankan beban rakyat.

Diramalkan selepas ini kebanyakan orang akan mengalami tekanan ekonomi dan ada syarikat terpaksa memberhentikan pekerja manakala jumlah tempahan menurun.

“Keadaan ini sudah pasti memberi kesan besar kepada negara dan rakyat. Bagi Perikatan Nasional… sekarang tiada ruang untuk berpolitik.

Buat masa sekarang, kita lebih memberi tumpuan berkaitan bantuan kepada rakyat dan menyelesaikan sekecil-kecil masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program bantuan kepada 40 buah masjid di dalam Parlimen Ketereh membabitkan Iman, Imam Muda dan Ahli Jawatankuasa Masjid di Ketereh di sini, hari ini.

Mengenai bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai dalang kejatuhannya di Kedah, Annuar berkata Mukhriz ada hak untuk buat pendirian dan beri pandangan.

Namun, secara hakikatnya kerajaan PN sedang diperkasakan dan penyingkiran Mukhriz selepas 23 bulan sebagai Menteri Besar Kedah adalah juga sebahagian daripada matlamat Perikatan Nasional untuk memperkukuhkan politik.

“Kita tidak akan berhenti setakat Kedah sahaja selepas Johor dan Melaka dan sekiranya ada negeri lain yang ingin ikut jejak amat dialu-alukan.

“Perikatan Nasional di negeri yang sudah terbentuk akan mulai bekerja dan bagi negeri-negeri yang belum bertukar… bolehlah bersiap sedia. Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Mukhriz atas perkhidmatannya selama ini dan mungkin beliau sudah mencuba yang terbaik. Kita juga akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku,” tegasnya.

Mengulas pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata perkara itu sudah dibincangkan secara konsensus dalam Permuafakatan Nasional sebelum ini dan dalam Perikatan Nasional.

Amat wajarlah pelantikan Menteri Besar daripada parti PAS berdasarkan jumlah kerusi DUN yang banyak dimiliki oleh parti berkenaan.

“PAS sudah banyak membantu UMNO Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan amatlah wajar Menteri Besar baru adalah daripada PAS.

“Tidak wajarlah sekiranya selama ini kerjasama kelihatan seperti “makan sebelah”. Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO secara rasmi mengucapkan tahniah kepada PAS dengan pelantikan berkenaan,” katanya. – BERNAMA