Cari Mekanisme Anak Muda Untuk Sokong Parti Baik Dari Dalam Mahu Pun Di Luar Parti

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua UMNO Tawau, Ghazali Ansing berpandangan parti itu sentiasa sesuai kepada golongan muda dan sentiasa sesuai sepanjang zaman kerana UMNO bukan hanya berjuang di dalam ruang lingkupnya sendiri malah jauh melangkau seluruh rakyat di negara ini.

Cuma katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan, cabaran yang dihadapi oleh parti adalah untuk memberikan keyakinan kepada golongan berkenaan yang mana secara umumnya lebih selesa berada di luar parti itu sendiri.

“Sebenarnya UMNO ini sentiasa sesuai kepada anak muda dan akan sentiasa sesuai sepanjang zaman kerana hanya UMNO yang betul-betul memperjuangkan hak semua golongan bangsa, rakyat dan agama walaupun kita di dalam perlembagaan sedikit berbeza tetapi konteks perjuangan kita adalah untuk semua.

“Kita tidak pernah meninggalkan sesiapa pun di dalam perjuangan kita. Apa yang perlu kita lihat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita harus mencari sesuatu mekanisme yang tepat untuk mendekati dan membawa mereka bersama-sama dengan kita.

“Bukan maksud saya untuk menyertai UMNO…kalau menyertai UMNO Alhamdulillah . Apa yang kita lihat pada hari ini anak-anak muda lebih suka berada di luar parti dan melihat parti mana yang bersesuaian untuk mereka sokong. Mereka hanya berminat menjadi penyokong berbanding masuk di dalam untuk berjuang bersama-sama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Segmen Wawancara Khas Sempena Hari UMNO ke-74 yang disiarkan secara live menerusi facebook UMNO-Online, di sini Sabtu malam. Turut bersama Ketua Puteri UMNO Wangsa Maju, Sdr Norbhaiti Sabar. Segmen tersebut dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abd Majid.

Tambah Ghazali, memang ada segelintir yang sanggup berjuang bersama UMNO tetapi secara majoritinya lebih suka melihat daripada luar parti dan UMNO seharusnya membawa dan mendekati mereka serta memperjelaskan kepada mereka siapa UMNO sebenarnya dan apa yang dibawa.

“Anak-anak muda dan generasi hari ini lebih kepada fakta dan bukannya berdasarkan sentimen… dan sebagainya. Itu yang kita harus tunjukkan pada ketika ini walaupun pada hari ini kita bersama-sama Perikatan Nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkongsi pengalaman yang tidak pernah diduga selama ini setelah memangku jawatan Ketua UMNO bahagian pada usia yang begitu muda.

“Tidak pernah terfikir menggalas sebagai Ketua UMNO bahagian pada usia muda dan ini adalah sesuatu amanah yang amat berat yang diberikan oleh pimpinan parti dan pada saya ini adalah amanah daripada Allah s.w.t. untuk saya pikul dan saya bawa perjuangan UMNO ini ke peringkat seterusnya. Pelbagai cabaran di sebalik tanggungjawab ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Wangsa Maju, Norbhaiti Sabar pula melihat anak-anak muda hari ini sudah pasti tertanya-tanya apa jaminan dan apakah yang disediakan untuk mereka termasuklah jaminan pendidikan dan juga jaminan soal pekerjaan.

“Anak muda ini perlukan jaminan. Di mana tempat mereka.. anak muda tidak kira bangsa akan melihat kepada beberapa perkara… yerlah dalam zaman sekarang ini kos sara hidup makin meningkat inikan pula anak-anak muda yang masih tertanya-tanya di manakah tempat mereka. Jadi persoalan yang ‘straight forward’ ialah jaminan UMNO untuk anak muda.

“UMNO perlu ada rangka perancangan untuk anak muda bagi tempoh sepuluh tahun akan datang dan sebagainya. Ini adalah contoh dan mereka mahu jaminan di sebalik perjuangan UMNO… soal pendidikan terjamin… mereka lihat pula peluang kerjaya… mereka lihat di dunia kerjaya pulak.

“Peluang pekerjaan mereka akan tertanya-tanya selepas itu. Tambahan pula selepas COVID-19 tentu cabarannya cukup tinggi. Ini adalah benda-benda yang sangat general dan inilah perkara-perkara yang anak muda sering perkatakan,” ujarnya.

Menyentuh soal perjuangan di dalam parti, beliau berpandangan UMNO tidak dapat dinafikan mempunyai jasanya yang tersendiri.

Bagi beliau yang telah memegang jawatan Ketua Puteri Wangsa Maju selama dua penggal, pelbagai pengalaman dan pelbagai perkara dapat dipelajari sepanjang bergiat dan berada di dalam perjuangan UMNO hari ini.

“UMNO mempunyai jasanya tersendiri dan apabila kita bergaul dengan pemimpin lama pada masa itulah kita belajar daripada mereka dan ambil ilmu-ilmu mereka dan daripada situlah juga kita pula mendidik diri kita sendiri bahawa bukan hanya untuk membalas budi yang lampau tetapi untuk menjamin masa depan negara itu sendiri dan perjuangan UMNO sebenarnya bukan hanya membela nasib Melayu semata-mata malah nasib rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

Ujar beliau lagi pengalaman dan perjuangannya bersama UMNO adalah satu langkah perjalanan politik yang jelas yang tepat.

“Di Wangsa Maju.. ketika UMNO kalah sebelum ini pun masih ada pertandingan untuk jawatan di dalam parti dan daripada situ kita nampak bahawa ini adalah sesuatu yang cukup baik dan ini menggambarkan bahawa UMNO bukan hanya diminati ketika menang dan menjadi pemerintah malah ketika waktu kalah… inilah perjuangan sebenarnya. Ini menambahkan lagi keazaman bahawa UMNO adalah benar-benar merupakan satu platform yang sebenarnya di dalam perjuangan,” tambah beliau – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.