BN, PAS, Bersatu, GPS, PBS Dan Star Sokong Penubuhan Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberikan sokongan terhadap penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kesemua presiden dan pengerusi mewakili parti politik masing-masing menjelaskan, ke arah kerjasama itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) PN telah dirangka.

Antara isi kandungan MoU itu, mereka bersetuju memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukun Negara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.

“Memperkukuh semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” menurut kenyataan itu.

Selain itu isi kandungan MoU berkenaan menyebut memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Malah MoU itu turut dirangka bagi memperkukuh PN melalui amalan musyawarah dan konsultasi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat-menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Kenyataan itu dibuat bersama oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.