Guru Ibarat Lilin Membakar Diri Untuk Menerangi Orang Lain- Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Hari Guru pada tahun ini mencipta lipatan sejarah buat warga pendidik di negara ini apabila tiada sambutan istimewa bakal diadakan di sekolah berikutan keadaan negara yang masih lagi berdepan melawan pandemik COVID-19.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tahun ini tidak seperti sebelum ini sambutan hari guru begitu meriah disambut apatah lagi gelagat yang mencuit anak murid dan menghiburkan pada sambutan itu.

“Sambutan Hari Guru pada tahun ini sudah pastinya tidak semeriah tahun-tahun lalu. Tiada lagi sambutan di sekolah, tiada lagi persembahan dari anak murid dan tiada lagi salam bersalaman.

“Namun percayalah pengorbanan dan jasa guru tetap tidak dilupakan oleh seluruh masyarakat. Tanpa guru, kita tidak mampu melaksanakan pembangunan modal insan yang signifikan untuk negara,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Tambah Dr Najmil lagi, guru akan berkorban apa sahaja demi kemajuan anak didiknya. Tiada keluhan yang didengar, hanya senyuman manis dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Guru berkorban masa, tenaga serta wang ringgit untuk memastikan anak bangsa berjaya dalam kehidupan. Penat lelah mereka hanya mereka yang tahu.

“Hormatilah dan doakan guru kerana tanpa keberkatan mereka, kita tidak akan berjaya di dunia ini.
Air sungai jernih sekali,
Sejuk terasa di jari jemari,
Tiada ternilai jasa diberi,
Tanpamu guru siapalah kami.

“Selamat Hari Guru Kepada Seluruh Warga Pendidik di Malaysia,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.