UMNO 74: Diuji Pelbagai Bentuk, Teruskan Khidmat Demi Agama, Bangsa, Negara

 

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ulang tahun UMNO yang ke-74 tahun kali ini cukup memberi makna yang tersendiri bagi pemimpin dan juga pendokong UMNO di seluruh negara.

Ini kerana walaupun UMNO telah diuji dengan berbagai-bagai perkara selama mengemudi negara bersama rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN), dan kemudiannya bergelar pembangkang selama 22 bulan, namun pada tahun ini ia cukup berbeza setelah UMNO kini menjadi sebahagian daripada pentadbir negara bersama Perikatan Nasional (PN).

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim, sesungguhnya kedatangan ulang tahun UMNO yang ke-74 ini cukup bermakna dan tidak pernah terbayang hilang tampuk kuasa, diduga dan diuji dengan pelbagai perkara dan bentuk.

“Alhamdulillah… sehingga hari ini kita masih tetap ada malahan bukan setakat makin kuat dan kita dapat memberi sumbangan manfaat kepada rakyat dan banyak kerja-kerja kita diteruskan tetapi hari ini sebahagian dari kita sudahpun bersama-sama dengan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Semoga kedatangan hari UMNO pada tahun ini akan terus memberikan kita semangat dan kematangan dalam menghadapi segala apa juga perkara yang mendatang dengan bijaksana. Selamat ulang tahun UMNO yang ke-74 kepada seluruh ahli dan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata UMNO sekarang ini semakin diminati oleh semua lapisan masyarakat kerana parti ini sentiasa membantu rakyat dikala susah dan senang.

“Tentunya kita berharap UMNO akan terus relevan, diminati dan memerintah negara ini pada masa depan dan terus menaburkan baktinya kepada negara, rakyat dan agama.

“Ini adalah jasa-jasa UMNO yang telah lalu dan akan terus berjasa kepada rakyat. Itu doa kita bersama,” ujarnya.

Manakala bagi Datuk Johan Abd Aziz turut senada bahawa UMNO kini semakin mantap setelah tewas pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Syukur Alhamdulillah… walaupun berbagai-bagai ujian dan hari ini UMNO terus kukuh, mantap dan kita bersama-sama berdoa supaya UMNO terus diperkasakan untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara… insya-Allah,” ujarnya.

UMNO menyambut ulang tahun penubuhannya pada 11 Mei dengan kali ini diadakan secara sederhana memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan COVID-19 masih berlangsung. Namun begitu, ahlu-ahli UMNO disarankan mengibarkan bendera parti ‘Sang Saka Bangsa’ dan mengadakan bacaan Yassin serta tahlil di kediaman masing-masing. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.