Mendepani Cabaran: Sifat Berkhidmat, Prihatin Terhadap Rakyat Dah Tertanam Dalam UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Mei – UMNO lahir dari sifat untuk berkhidmat kepada rakyat dan sifat tersebut terus ada dalam parti sama ada UMNO selaku kerajaan, menjadi pembangkang atau sebahagian daripada kerajaan sebagaimana hari ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, rasa sayang, sentiasa menghargai dan ingin membantu rakyat adalah teras yang telah wujud dalam UMNO sejak sekian lama dan ia kekal demikian biarpun parti menjadi pembangkang tetapi khidmat kepada rakyat tetap diteruskan.

“UMNO dah jadi sebahagian dari kerajaan hari ini dan setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpinya bersandarkan kepada membantu rakyat. Hari ini COVID-19 memberi kesan yang cukup besar kepada semua sektor tapi kita yakin kerajaan hari ini akan dapat membantu rakyat dengan cukup baik. Kita mendapat sokongan dari semua pihak.

“Walaupun nampak kesannya kecil tapi besar kepada industri sebagaimana di TNB apabila misalnya kita tak ambil tindakan memotong bekalan elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana inilah yang saya lihat sebagai keprihatinan untuk membantu rakyat diketika rakyat memerlukan.

“Apa guna kita menjadi kerajaan jika tidak membantu rakyat kerana rakyat mengangkat satu-satu kerajaan itu untuk membantu mereka… waktu kita susah rakyat menyokong kita dan waktu kita baru berkuasa maka kita harus bersama rakyat dan saya yakin bukan hanya di kementerin saya tapi juga kementerian-kementerian lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi segmen Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 tahun yang disiarkan secara langsung menerusi facebook UMNO-Online, malam tadi.

Ujarnya, kerajaan hari ini sentisa memikirkan apakah perkara-perkara yang boleh memudahkan urusan-urusan rakyat agar keadaan segera pulih dan rakyat dapat keluar dari kebimbangan.

“Walaupun keputusan kecil tapi ia sebenarnya penting dan memberi kesan kepada rakyat. Memang tentunya keputusan yang dibuat itu tak akan dapat membantu menyelesaikan 100 peratus masalah rakyat tetapi setidak-tidaknya tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

“Itulah yang lahir dan ada dalam UMNO… untuk ada rasa cinta kepada rakyat, sayang kepada rakyat, menghargai jasa rakyat yang sentiasa menyokong kita maka kita pulangkan kembali dengan berkhidmat dan membantu rakyat yang sedang susah.”

Dalam perkara yang lain, beliau membidas dakwaan segelintir pihak khususnya Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa kerajaan hari ini tidak sah atau tidak demokratik.

“Kerajaan yang dibina hari ini mengikut lunas-lunas undang-undang. Dakwaan yang berkata kerajaan hari ini tidak sah atau tidak demokratik adalah sama sekali tidak benar kerana apa yang berlaku ada prosesnya dan pembentukan kerajaan berlangsung dengan sah.

“Sekiranya mereka masih terus-terusan menuduh maknanya mereka mempertikaikan apa yang dilakukan Yang di-Pertuan Agong. Baginda sendiri pun melakukan berlandaskan Perlembagaan negara, jadi tidak ada isu berkaitan hal tersebut.”

Mengulas berkaitan kerajaan hari ini, jelasnya beliau mendapat respon yang cukup baik dari rakyat.

“Rakyat memberi respon yang positif apatah lagi berkaitan isu kewangan dan ekonomi. Misalnya bagaimana Menteri Kewangan dahulu mengatakan tidak ada wang, negara nak muflis, tak dapat beri pada rakyat sedangkan realitinya tidak begitu sebagaimana yang kerajaan hari ini lakukan.

“Sebenarnya kerajaan PH sendiri ketika itu tidak ada keinginan atau kesungguhan untuk membantu rakyat, maka tak ada apa-apa bantuan kepada rakyat dan ini berbeza dengan kerajaan hari ini yang terdiri dari pemimpin-pemimpin bahawa rakyat mesti dibantu.

“Apabila satu-satu kerajaan itu gagal membantu rakyat maknanya mereka tidak bertanggungjawab dan mengabaikan rakyat yang telah mengangkat mereka sedangkan rakyat mengharapkan keadaan tersebut,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.