Individu Cuba Lakukan Perjalanan Rentas Negeri Boleh Dihukum – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 15 Mei – Mana-mana individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ketika ini sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara telah mula dilaksanakan untuk mengelakkan perjalanan rentas negeri.

“Sekatan jalan raya di plaza tol telah mula dilaksanakan bagi mengelakkan rentas negeri dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perjalanan rentas negeri yang dibenarkan adalah empat hari sahaja melalui permohonan aplikasi Gerak Malaysia.

“Selepas daripada tempoh itu (kebenaran bergerak melalui aplikasi Gerak Malaysia berakhir) kembali kepada normal, tidak boleh melakukan rentas negeri kecuali dengan kebenaran polis. Maknanya sesiapa sahaja yang merentas negeri tanpa kebenaran polis tentu sahaja akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak polis masih boleh mengenakan kompauan atau membawa mereka ke mahkamah untuk dihukum.

Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengenakan 144 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara.

“Semalam PDRM telah menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP (Prosedur Operasi Standard). Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Selayang Baru, Gombak, Selangor ditamatkan hari ini.

Dalam pada itu, menteri kanan itu turut mengesahkan tiada PKPD yang dikenakan di kawasan Jalan Pasar Pudu di sini, sebaliknya kawalan secara pentadbiran.

“Penduduk di zon itu masih dibenarkan untuk keluar masuk dan bergerak termasuk membeli barang keperluan, ia berbeza dengan PKPD yang penduduknya tidak dibenarkan langsung keluar, ” katanya.

Beliau berkata kesemua penduduk di kawasan itu juga akan menjalani saringan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.