Wan Rosdy Pengarah PRK DUN Chini – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Menteri Besar Pahang, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa setelah perkara berkenaan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti sebagai persediaan awal untuk berdepan PRK tersebut.

“Perkara ini telah dibincangkan oleh Dewan Tertinggi BN dan parti memutuskan mempertahankan kerusi DUN Chini yang disandang sebelum ini. BN tentu akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan kerusi tersebut. Persiapan awal bagi mengadakan PRK ini diperingkat parti telah digerakkan dan kita telah memutuskan MB Pahang yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Pengarah Jentera PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pasca Mesyuarat BN, di sini, hari ini. Dua hari lalu Mesyuarat Dewan Tertinggi BN telah diadakan dan dipengerusikan Oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Annuar, Wan Rosdy akan dibantu oleh Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) Ibu Pejabat BN Pusat manakala bentuk kempen dan segalanya akan menunggu pengumuman terkini daripada pihak Suruhajaya Pilihan Raya (SPR)

“Memahami keadaan negara masih lagi berada di abwah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka BN akan membuat ‘adjustment’ tertentu supaya kempen jika berlaku nanti adalah dengan mengambil kira secara serius dan bersungguh-sungguh keperluan kepada pematuhan PKPB.

“Malah jika sekiranya tidak ada lagi PKPB pun dengan memahami bahawasanya ancaman COVID-19, maka langkah-langkah perlu diambil sepanjang kempen bagi memastikan garis-garis panduan ditetapkan dan dianjurkan oleh KKM akan terus menjadi perkara yang akan diberikan perhatian. Ini termasuk gerakan kempen yang tidak bersifat ‘face to face’ sebaliknya yang berasaskan penggunaan teknik siber dan sebagainya akan dipergunakan,” ujarnya.- UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.