UMNO Tetap Wadah Perjuangan Bangsa Melayu, Tapi Bangsa Lain Tak Pernah Diabai

KUALA LUMPUR, 14 Mei – UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu yang ditubuhkan atas permuafakan Melayu telah melahirkan perpaduan untuk semua kaum yang kemudiannya membawa kemerdekaan seterusnya kemajuan dan pembangunan, kata Sejarawan negara, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam.

Katanya, bersama-sama dengan MCA dan MIC, UMNO membentuk kerajaan demi masa hadapan bukan sahaja orang Melayu tetapi kepada rakyat negara ini.

“Kita memberikan jus soli kepada bangsa lain tanpa ada sebarang pertumpahan darah dan perpaduan yang ditonjolkan oleh UMNO telah menyatukan semua bangsa lain dalam satu wadah atas nama nasionalisme, atas satu negara bangsa, Persekutuan Tanah Melayu.

“Raja-raja Melayu duduk atas takhta, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi untuk Persekutuan maka barulah kerjasama antara kaum dilakukan. Sebenarnya ini dilaksana dengan begitu banyak pengorbanan orang Melayu untuk mengiktiraf orang imigran dan menjadi warganegara di sini,” katanya.

Dalam hal ini beliau memetik kata-kata pemimpin MIC, Tun Sambanthan dan pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin yang berterima kasih kepada orang Melayu kerana menerima bangsa lain untuk menjadi warganegara Tanah Melayu.

“… tapi hal ini tidak mahu diakui oleh Dap hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 tahun bersama Veteran UMNO, Datuk Othman Abdul yang disiarkan secara langsung melalui laman facebook UMNO-Online, malam tadi.

Dalam hal tersebut, Othman mengakui bahawa walaupun asas utama UMNO adalah bangsa Melayu dan Bumiputera tetapi bangsa-bangsa lain tidak pernah diabaikan.

“Walaupun UMNO itu asasnya adalah Melayu tetapi UMNO tidak pernah mengabaikan kaum-kaum lain dalam negara kita, sebab itu ada MCA dan MIC untuk bersama-samamenuntut kemerdekaan.

“Beberapa kali siri pilihan raya UMNO ada kuasa majoriti tetapi UMNO tidak meninggalkan kaum-kaum lain sebaliknya terus dengan BN. Itulah politik persepakatan,” katanya.

Ujar beliau, pada satu-satu masa UMNO ada kuasa majoriti di Dewan Rakyat tetapi kaum-kaum lain tetap terbela dan mendapat peluang sama rata.

“Fakta inilah yang cuba dinafikan oleh Dap… Dap seolah-olah mengatakan UMNO hanya perjuangkan untuk kaum Melayu sedangkan itu salah sama sekali. Kalau kita bersikap begitu sudah pasti tidak ada sekolah Cina, tidak ada sekolah
Tamil dan mereka tak ada kuasa mengundi,” katanya.

Tegas beliau, atas kesedaran politik persepakatan inilah negara berkembang dan maju selepas merdeka dengan masyarakatnya pelbagai kaum.

“Kita mengambil satu usaha yang sangat besar dengan menerima bangsa lain serta berpakat memerintah negara ini bersama-sama. Walaupun teras Melayu itu tetap dalam UMNO namun kita juga ada tanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum… tidak ada yang diabaikan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.