Kekuatan UMNO Terletak Pada Solidariti, Kesetiaan, Matlamat Keutamaan Parti – Najib

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kekuatan UMNO terletak pada solidariti dan kesetiaan untuk terus bersama memperjuangkan matlamat parti, walaupun kalah bersama-sama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu, kata bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kekalahan UMNO dan BN pada PRU14 memberikan hikmah apabila rakyat dapat melihat sendiri dalam parti itu ada yang tidak berdaya tahan untuk perjuangannya dan meninggalkan UMNO.


“Sebaik sahaja UMNO kalah dan tidak lagi menjadi kerajaan, ramai dalam kalangan pemimpin berkenaan keluar menyertai parti dari Pakatan Harapan (PH) sedangkan kekuatan UMNO adalah solidariti dari akar umbi.

“Solidariti adalah satu daripada tiang seri kekuatan UMNO. Solidariti boleh juga disamakan dengan kesetiaan kita kepada parti. Ia adalah tonggak,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia.

Jelasnya, walau UMNO hanya menang 79 kerusi dan kalah untuk memerintah, sudah ramai lompat menyertai parti kerajaan dari PH sedangkan 79 kerusi itu adalah satu kekuatan yang luar biasa kita ada.

“Silap-silap Yang di-Pertuan Agong bagi pada kita menjadi Perdana Menteri ketika berlaku peralihan kuasa pada 24 Februari lalu kalau kita kekal dengan 79 kerusi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-74 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, semalam.

Nabi berkata, pemimpin yang melompat ini sebenarnya tidak melihat lebih lama atau lebih panjang lagi dalam perjuangan parti .

“Hampir separuh daripada jumlah 79 kerusi itu telah tinggalkan UMNO untuk mengejar parti yang mempunyai kuasa memerintah.

“Pada saya, pemimpin yang melompat ini sebenarnya tidak melihat lebih lama atau lebih panjang lagi dalam perjuangan parti. Sebab apabila lompat, dia sudah hilang sokongan dari akar umbi parti.

“Rakyat pun tidak lagi sokong mereka, melainkan dua tiga orang yang beri sokongan. Tapi sokongan dari UMNO sudah tidak ada lagi. Ini yang menghantui minda mereka,” katanya.

Ujar beliau, sewajarnya ahli-ahli UMNO tidak pernah patah semangat dan terus setia bersama parti sebagaimana dirinya walaupun berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, kerana yakin dirinya tidak bersalah.

“Bila saya merasakan saya tak bersalah, saya akan buat apa saja untuk berjuang, menampilkan diri saya di kalangan rakyat, walaupun BN kalah, ia tidak bererti kita tidak boleh bangun balik.

“Saya terlalu sayangkan UMNO dan parti ini telah menjadi darah dagingnya. Jiwa saya dan diri saya tidak dapat bayangkan kalau saya mati tanpa ada semangat perjuangan, saya tidak mahu ia padam. Kita mesti berjuang untuk tegakkan parti kita yang banyak jasa kepada rakyat.

“Tanpa UMNO tak ada negara Malaysia, itu realitinya. Oleh itu, janganlan kita melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan UMNO rugi, apatah lagi kalau kita khianati parti keramat ini,” ujarnya.

Katanya, pembangkang dari PH ketika itu menggunakan pelbagai propaganda sebagai senjata termasuk sanggup melakukan apa sahaja seperti berbohong, menipu dan memfitnah asalkan tujuannya menghasut rakyat berjaya.

“Malangnya, apabila PH menabur cerita fitnah, rakyat termakan. Hasutan fitnah itu mengatasi kebenaran menyebabkan BN jatuh. Namun, beberapa bulan selepas PH mengambil alih kerajaan, rakyat mula sedar bahawa apa yang mereka
termakan selama ini adalah fitnah dan pembohongan PH semata-mata.

“Lebih lagi janji PH kepada rakyat tidak ditunaikan, sehingga rakyat merasakan mereka kena kencing dan tertipu. Lalu timbullah sokongan yang meningkat kepada UMNO, BN dan diri saya sendiri,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.