UMNO Parti Yang Ada Kelainan, Punyai Sejarah Perjuangan Tersendiri – Shabery
KUALA LUMPUR, 13 Mei – UMNO bukan sekadar parti politik dan ianya lain daripada yang lain kerana mempunyai sejarah panjang yang tersendiri dan penuh dengan soal perjuangan, jasa dalam pembangunan untuk negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata 74 tahun UMNO berada dalam negara merupakan sesuatu yang dikaitkan dengan soal perjuangan, pembangunan, kemajuan dan soal kemakmuran yang dirasai bersama hari ini dan UMNO mesti terus kuat serta terus diperkasakan.
“Namun politik begitulah yang mana ianya ada naik dan turun. Satu putaran dan itu kita tidak sangka begitu lama sekali dan ianya lebih 60 tahun dan sehingga 70 tahun UMNO berada di atas. Tetapi kita perlu ingat bahawa UMNO di atas itu bermula daripada bawah. Sepanjang sejak dilahirkan sejak 1946, kita benar-benar berada di tampuk pemerintahan sejak merdeka pada tahun 1957.
“Sebelum itu kita berada di bawah sebagai parti yang berjuang menentang penjajah. Adakalanya kita benar-benar sebagai penetang penjajah dan adakala kita sebahagian daripada kerajaan tetapi akhirnya kita berada di kerajaan sekarang ini. Kita jatuh sekejap dan kembali sebagai sebahagian daripada kerajaan dan insya-Allah UMNO akan terus berada di tempat yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena ulang tahun UMNO ke-74 yang disambut 11 Mei setiap tahun.
Beliau seterusnya percaya dan yakin UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh termasuklah mempunyai struktur kepimpinan yang hebat bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri, bahagian, cawangan dan sebagainya yang tidak ada kepada parti-parti lain,” ujarnya lagi.- UMNO Online