SPRM Digesa Siasat Kerajaan Sabah – Ghazalie

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat empat projek penyelenggaraan jalan raya di negeri ini bernilai RM1.55 bilion yang dipercayai dianugerahkan terus kepada empat syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony.

Katanya, nilai kontrak yang terlalu besar iaitu antara RM325 juta sehingga RM500 juta itu tidak sepatutnya dianugerahkan terus, kecuali jika ada motif tertentu daripada Kerajaan Sabah untuk memberi kekayaan kepada kroni.

Jelas beliau, semasa Pilihan Raya Umum (PRU), Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH) mendendangkan ketelusan di manifesto mereka dalam pentadbiran tetapi hakikatnya bersikap tamak haloba dan cakap tidak serupa bikin.

“Jika benar, pihak SPRM harus mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini. Ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan rompakan secara terang-terangan terhadap rakyat Sabah.

“Kita dapat lihat pada hari ini semua jalan raya di dalam negeri Sabah daif dan teruk, tetapi mereka yang berkuasa dengan sewenang-wenangnya merompak dan menyamun hak rakyat Sabah,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Ghazalie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau menjelaskan, walaupun kontrak itu sudah dianugerahkan untuk tempoh lima tahun setiap satu, hakikatnya jalan raya di negeri ini masih dalam keadaan tidak sempurna dan menyebabkan rakyat semakin sengsara.

“Empat syarikat itu adalah A.K Setia Bina Sdn. Bhd dengan nilaian sebanyak RM400 juta, AK Kontraktor Sdn. Bhd. (RM325 juta), Borneo Nabalu Builders Sdn. Bhd. (RM500 juta) dan terakhir Sinaran Mewah Sdn. Bhd. (RM325 juta),” katanya lagi.

Penempatan pegawai SPRM di Jabatan Ketua Menteri nampaknya cuma satu ’gimik’ untuk mengaburi mata rakyat sedangkan hakikatnya kroni beliau sedang mencipta kekayaan, bidasnya.

“Apabila mereka mennguar-uarkan satu dunia SPRM ditempatkan di pejabat Ketua Menteri, mereka ingat rakyat buta dan mudah tertipu dengan lakonan tersebut.

“Alang-alang sudah ada di pejabat, pihak SPRM perlu menyiasat dan jangan membiarkan penyamun duit rakyat terlepas,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.