UMNO Mendepani Politik Masa Hadapan, Gunakan Peluang Kedua Untuk Terus Bangkit

LIPIS, 12 Mei – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Farid Mohd Nor berkata, mendepani politik masa depan, peluang menjadi sebahagian daripada kerajaan yang diperoleh UMNO hari ini perlu digunakan sebaiknya untuk meraih semula keyakinan rakyat.

Jelas beliau, usaha perlu dilakukan untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan lalu agar rakyat terus menyakini bahawa parti keramat ini mampu membawa suara mereka.

“Selamat Hari Ulang Tahun ke-74 buat seluruh orang UMNO, ahli UMNO, penyokong UMNO yang bukan ahli, bekas ahli yang berjiwa UMNO malah pembenci UMNO yang tidak boleh hidup tanpa menyebut nama UMNO walaupun sehari.

“Banyak yang telah disebut oleh rakan-rakan tentang hari ulang tahun ini, ada yang mengimbau sejarahnya, jasanya, naik turun zaman kegemilangan dan kejatuhannya serta impian masa depan mereka terhadap parti ini.

“Namun, dalam mendepani masa depan, kita harus menggunakan peluang menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kita sudah mengakuinya kesilapan yang dibuat dan sekarang masa untuk memperbaiki kesalahan yang telah kita sendiri telah akui. Sejarah membuktikan kuasa dan empayar besar akhirnya lenyap kerana tamak dan pengkhianatan dari dalam. Mereka tewas dan tidak mampu bangkit lagi, tetapi UMNO dengan cara yang betul berkemampuan mencipta sejarah yang baru,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Farid, hanya yang terpilih diberi peluang kedua dan UMNO adalah antara yang terpilih.

“Selepas tewas PRU-14, UMNO sekali lagi berjaya mengatasi teori dan hujahan ilmuan politik tanah air mahupun antarabangsa, UMNO bukan sahaja tidak pupus disebalik segala kemelut, malah berjaya mengharungi tempoh 22 bulan dengan kebangkitan luar jangka, bersama-sama rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.

“Tidak terbayang sebuah parti pembangkang berjaya mengatasi pemerintah dengan belasan ribu majoriti dalam satu pilihan raya kecil.

“Maka penghormatan besar yang perlu diberikan oleh UMNO tidak lain dan bukan adalah kepada kesetiaan orang-orangnya yang bertebaran di seluruh pelusuk tanah air. Sebahagian pemimpin boleh pergi meninggalkan perjuangan, namun keyakinan Orang UMNO kepada masa depan UMNO sedikit tidak goyang, membolehkan pemimpin yang tinggal mendapat sokongan sepenuhnya bagi menerus agenda parti,” ujar beliau lagi.

Justeru, semua pihak harus mengambil semangat roh perjuangan UMNO dan belajar dari kesilapan lalu dalam mencapai objektif menang dalam PRU-15 akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.