UMNO 74: Martabatkan Parti, UMNO Perlu Belajar Dari Penolakan Rakyat – Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, suka tidak suka UMNO harus menerima hakikat bahawa rakyat menolak parti keramat ini buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu dan ia adalah satu iktibar serta pengajaran yang sangat bermakna.

Jelas beliau, rakyat telah mempercayai apa yang dikatakan pihak lawan walaupun telah ditegaskan perkara yang dicanang oleh mereka adalah propaganda dan fitnah tetapi hakikat tetap hakikat iaitu UMNO kalah.

“Namun, UMNO kalah bukan hanya kerana rakyat mempercayai hujah pihak lawan tetapi kerana UMNO sendiri berpecah. Sebagai contoh, Johor yang dikatakan sebagai kubu kuat UMNO juga kecundang.

“Saya terkejut bila dengar Johor kita kalah sebab Johor adalah negeri paling kuat dalam parti tetapi kita kalah sebab perpecahan di peringkat pimpinan dan bawah. Ini yang menjadi masalah dan sebenarnya bukan hanya Johor, ditempat lain juga begitu.

“Kita sukar untuk terima kekalahan kerana macam-macam yang telah UMNO lakukan untuk rakyat dan negara. Macam-macam dasar telah kita buat untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Walaupun kita berbeza agama tetapi kita dapat hidup aman damai cuma sekali sahaja iaitu pada 13 Mei tetapi itupun hanya di Kuala Lumpur sahaja tetapi selepas itu semua baik,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam wawancara khas sempena Hari UMNO ke-74 dengan tajuk ‘Mendepani PRU-15’ yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Mengulas lebih lanjut, jelas Tengku Razaleigh, masalah kepimpinan UMNO adalah mereka merasakan diri mereka terlalu besar.

“Lagak lebih… itu yang buat orang pandang rendah kepada UMNO. Sebab itu saya rasa elok juga kalah. Tuhan nak ajar kita untuk insaf bahawa tidak ada yang kekal. Kekalahan itu untuk bagi kesedaran kepada semua.

“COVID-19 ini juga ujian Allah untuk kita sedar. Benda yang kita tidak nampak membuatkan kita takut, semua bandar jadi seolah-olah bandar hantu. Jadi kita perlu ambil iktibar dan pengajaran,” jelas beliau.

Ketika ditanya berkaitan cara untuk kembali memartabatkan UMNO Tengku Razaleigh menegaskan, antara perkara yang perlu ditekankan adalah meminda Perlembagaan UMNO berkaitan politik wang.

“Perlembagaan UMNO perlu dipinda untuk mengekang politik wang kerana ia akan merosakkan parti. Parti akan hanyut dan rakyat tidak akan terbela, sebab itu politik wang adalah satu masalah serius yang perlu diatasi.

“Selain itu, saya sedang berfikir untuk mencadang dalam Parlimen bagi mewujudkan akta orang yang menggunakan duit dalam pilihan raya.

“Saya rasa kena cadang supaya SPR tadbir duit parti, duit calon supaya ada had duit derma. Katakanlah dihadkan RM1 juta dari satu-satu kumpulan dan tidak boleh dibelanja lebih yang ditentukan oleh undang-undang. Jika tidak, dia akan digugurkan,” ujar beliau.

Tegas Razaleigh, orang ramai juga tidak suka melihat orang politik berbelanja lebih kerana rakyat tahu latar belakang mereka ini. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy