UMNO 74 Tahun, Tetap Jadi Institusi Terpenting Orang Melayu – Khaled

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Sudah lebih tujuh dekad UMNO hadir dalam sejarah pembentukan negara dan bangsa Malaysia dan kepada orang Melayu, UMNO adalah sebahagian dari warisan serta peninggalan pendiri bangsa yang harus dipertahankan dengan sepenuh jiwa raga.

Demikian tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang melihat biarpun dalam dekad-dekad mutakhir ini UMNO berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada yang berpunca dari dalam parti sendiri ataupun faktor lain tetapi UMNO masih institusi terpenting orang Melayu.

“Bersempena dengan sambutan ulang tahun UMNO ke 74 ini, wajar untuk kita sama-sama memikirkan apakah sumbangan dan keunggulan baharu yang boleh kita tawarkan kepada UMNO.

“Hanya dengan memperkasakan keunggulannya sendiri terlebih dahulu, barulah UMNO akan berupaya untuk menawarkan kepimpinan dan masa depan yang lebih baik untuk negara kita,” katanya dalam kenyataan sempena Hari UMNO.

Jelasnya, retorik dan sentimen Melayu bukan jawapan kepada masalah dan isu orang Melayu, sebaliknya, idea besar yang segar, inovatif dan menjawab persoalan semasa harus menjadi naratif yang mesti diterjemahkan dalam bentuk tawaran yang konkrit.

“UMNO punya tugas yang penting untuk mengembalikan bangsa dan negara ini ke landasannya.

“Marilah kita bersama-sama menanam tekad untuk membangunkan UMNO kembali menjadi pendiri bangsa yang diyakini, dihormati dan diperlukan negara.

“Selamat Ulang Tahun Ke-74 wahai pendiri bangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.