UMNO 74: Parti Yang Cukup Lama Dan Matang, Perlu Diuruskan Sebaiknya Untuk Terus Relevan

 

KUALA LUMPUR, 11 Mei – UMNO dilihat telah menjadi sebuah parti yang begitu lama selain matang dan ianya mempunyai pengurusan di semua peringkat kepimpinan yang membolehkannya terus relevan dan terus menjadi satu-satunya parti kebergantungan orang Melayu untuk tempoh akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata hakikat itu cukup penting kerana tanpa UMNO, rakyat dapat melihat dan merasai apabila negara diuji 22 bulan yang lalu dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah dominasi Dap.

“Sempena dengan ulang tahun UMNO ke-74, kita jadikan ini satu titik tolak untuk kita manfaatkan satu sambutan yang merapatkan hubungan ukhuwwah di kalangan pelbagai peringkat termasuklah kepimpinan tertinggi sehingga ke peringkat cawangan supaya UMNO terus relevan dan diterima dalam masyarakat di negara kita.

“Kita sudah menguruskan negara sebelum ini menerusi Barisan Nasional (BN) yang mana semua orang tahu UMNO adalah terasnya pada waktu itu dan kita telah diuji oleh Allah SWT apabila 22 bulan yang lalu UMNO tidak lagi menjadi parti teras kepada kerajaan yang ada di dalam negara.

“Kita dapat merasai dua perbezaan. Pertamanya diperintah menerusi BN dan keduanya selain daripada BN selama 22 bulan. Bukan sahaja saya yang terasa dan bukan sahaja ahli UMNO yang terasa malahan rakyat pelbagai bangsa dan peringkat yang ada di dalam negara merasa betapa peritnya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian sempena ulang tahun UMNO ke-74 yang disambut 11 Mei setiap tahun.

Tambah Ahli Parlimen Jelebu itu lagi, rakyat khususnya dapat melihat perbezaan selama 22 bulan berbanding pemerintahan sebelum ini.

“Pentadbiran BN telah memberikan perkhidmatan yang jelas dan terbukti begitu baik sejak 62 tahun yang lalu. Sebab itu saya sebutkan bahawa pengajaran 22 bulan itu adalah satu pengajaran yang sangat besar bagi kita semua,” ujarnya lagi.

Sambutan pada kali ini diadakan secara sederhana, mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa dengan semua ahli UMNO dianjurkan di rumah masing-masing agar mengadakan bacaan Yassin, solat hajat dan doa selamat memohon supaya parti keramat ini dilindungi oleh Allah dan ahli-ahlinya dijauhi daripada malapetaka.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.