Ulang Tahun UMNO Ke-74 Disambut Dalam Norma Baru

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, Hari UMNO ke-74 disambut dalam norma yang baru di mana tiada majlis keraian yang dibuat memandangkan negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Ulang tahun UMNO ke-74 kali ini, disambut dengan simbolik di mana upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan hanya diiringi oleh setiausaha sayap dan ketua jabatan Ibu Pejabat UMNO.

Selain itu, kelainan lain yang dibawa juga adalah di mana Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersiaran secara langsung dengan semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri melalui ‘Webex’.

Siaran secara langsung ini sedang berlangsung sekarang dan ia boleh ditonton di laman facebook UMNO-ONLINE.

Jika sebelum ini, setiap kali ulang tahun UMNO, akan ada anugerah tokoh terbilang tetapi kali ini ianya akan diberikan kepada 16 jabatan ‘fronliner’ yang terpilih bagi menghargai pengorbanan mereka ini dalam berhadapan pandemik COVID-19.

Walaupun hari UMNO kali ini mencatatkan sejarah tersendiri dalam cara meraikannya tetapi di setiap jiwa ahli UMNO, inilah parti yang telah banyak menabur jasa dan akan terus diperkasakan seterusnya mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sementara itu, Presiden UMNO dalam perutusannya berkata, UMNO masih berdiri megah untuk bangsa, agama dan negara. Pada usia 74 tahun, parti ini bukan lagi eksklusif untuk Melayu tetapi turut memayungi bangsa lain ke arah satu aspirasi nasional.

“Pada era COVID-19 ini kita dibatasi oleh peraturan yang melindungi rakyat. Mesyuarat bahagian dan cawangan terpaksa ditunda. Semua bahagian sibuk membantu rakyat pada masa sekarang. Ini semua membuktikan betapa UMNO sentiasa prihatin rakyat.”

Ahmad Zahid turut menggesa agar menghentikan segera politik peribadi yang ternyata hampir membuat UMNO tempang selepas PRU-14.

“Kini kita ada Muafakat Nasional. Murnikan dan buktikan lagi seperti mana dalam lima pilihanraya kecil lalu. Kita boleh melangkah lebih jauh dan lebih mudah jika iltizam dan semangat kita kuat.

“Ini bukannya masa untuk kita duduk bertimpuh dan bertatih lagi. Kita mesti sedia dalam semua hal, termasuk barisan pemimpin masa depan. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang mencorakkannya.

“Sempena ulang tahun ke-74 UMNO, saya merayu agar semua ahli menggenggam erat keris perjuangan parti, hentikan tabiat ‘api dalam sekam’ dan semarakkan semula semangat sejarah penubuhannya,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.