Pengurusan, Dinamika Politik Juga Perlukan ‘Normal Baharu’ – Shahril


KUALA LUMPUR, 11 Mei – Lebih 60 tahun parti menjadi kerajaan membawa seribu satu kebanggaan pencapaian, ujar Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Tidak kurang juga katanya, 22 bulan sebagai pembangkang membawa hikmah dan pengajaran.

“Antara cabaran utama kita adalah untuk memastikan pengajaran tersebut tidak tercicir dalam kesibukan dan keghairahan senario politik yang telah berubah.

“‘Normal baharu’ terpakai bukan hanya dalam soal penjarakan sosial dan sebagainya, tetapi juga dalam pengurusan politik.

“Misalnya, penglibatan UMNO dalam kerajaan yang baru ditubuhkan selepas kecelaruan dan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dilihat proaktif terutama ketika dunia sedang menghadapi pandemik COVID-19 dengan pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena menyambut ulang tahun Hari UMNO Ke-74.

Pada masa sama jelasnya, ‘normal baharu’ juga menuntut parti lebih dinamik dalam segala inisiatif yang membabitkan kepentingan rakyat, termasuk memberi kritikan membina kepada kerajaan hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Shahril juga berkata telah hampir tiga minggu Ramadan tahun ini disambut dalam keadaan yang sangat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya dan begitu juga dengan sambutan Hari UMNO.

“Begitu jugalah dengan suasana menyambut Hari UMNO yang ke-74 pada tahun ini yang kebiasaannya disambut dengan pelbagai Majlis Kesyukuran, bacaan Yassin dan sebagainya tidak dapat kita jalankan secara beramai-ramai.

“Walaupun begitu, semangat dan kemeriahan Hari UMNO saya yakin dirasai oleh seluruh ahli UMNO pada malam ini dan esok,” tambahnya.

Justeru, Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar ahli tanpa mengira jawatan terus bersemangat dan bertekad dalam usaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.