Kembalikan Parti Kepada Kedudukan Asal, Dengan Syarat Utamakan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pengerusi Akademi UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sebagai parti terbesar dan berjasa dalam negara ini, UMNO mesti kembali ke kedudukan asal sebagaimana sebelum ini yang mengetuai kerajaan di persekutuan dan juga negeri.

Namun demikian ujarnya, untuk kembali, tiada pilihan bagi pemimpin dan ahli UMNO selain perpaduan mesti diletakkan keutamaan.

“Ini sangat penting bagi UMNO. Kerana kekuatan UMNO bergantung kepada perpaduan di kalangan pimpinan dan ahli di semua peringkat.

“Malah sejarah membuktikan yang UMNO mampu menghadapi apa juga cabaran apabila pemimpin dan ahli bersatu padu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Oleh itu, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu lagi, sempena sambutan ulang tahun UMNO Ke-74 pada tahun ini, beliau berharap agar semua pihak meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan lain.

“Semua daripada kita ada kelebihan dan kekurangan. Mari kita gabung semua ini untuk membina UMNO yang lebih hebat.

“Ingatlah. Rakyat sedang memerhati kita. Untuk rakyat memilih kita. Ia bergantung sejauh mana kita dapat memenangi hati mereka,” tambahnya.

Berhubung dengan sambutan Hari UMNO pada tahun ini, Dr Shamsul berpendapat ianya disambut dalam keadaan yang sangat sederhana tanpa sebarang acara meriah sebagaimana sebelumnya ekoran COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia ketika ini.

“Bagaimanapun sambutannya tetap bermakna dan penuh semangat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.