UMNO 74 Tahun: Muafakat Nasional Perlu Terus Diperkukuh Demi Kemenangan PRU-15

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO harus terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (BN) bagi memastikan agenda kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tercapai.

Ujar beliau, walaupun kini UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi harus diingat, ini hanyalah satu langkah sementara.

“UMNO adalah sebuah parti yang masih gagah dan perkasa. Kita bersyukur UMNO adalah sebuah parti yang hebat dengan agenda perjuangan membela nasib rakyat terutama orang Melayu Islam. Ketika ini, UMNO menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dari laur dan dalam.

“Selepas tewas, kita boleh dikatakan hilang punca tetapi dengan izin Allah, kita bangkit semula dan dapat membela kekuatan baru terutama apabila dapat menjalinkan kerjasama dengan PAS apabila mewujudkan Muafakat Nasional (MN).

“Ia satu politik baru yang memberi kekuatan kepada orang ramai sehingga kita berjaya memenangi lima Pilihan Raya Kecil (PRK) secara berturut-turut. Kekuatan ini memberi harapan baru kepada UMNO untuk kembali berkuasa pada PRU-15 nanti. Jadi, kita harus bertekad untuk buat segala persiapan bagi menghadapi PRU-15,” ujar beliau kepada UMNO-Online sempena hari Ulangtahun UMNO ke-74 yang bakal disambut pada 11 Mei ini.

Tambah Tajuddin, walaupun perancangan asal UMNO bersama MN sedikit berubah apabila UMNO mengambil keputusan menyertai PN bagi membentuk kerajaan, namun ia hanyalah satu langkah sementara.

“Saya berharap, dengan penyertaan UMNO dalam PN, ia akan memberi peluang dan ruang kepada UMNO dan PAS untuk menghadapi PRU-15 akan datang dengan lebih bertenaga dan bersemangat walaupun kita hanya satu komponen yang kecil dalam PN.

“Penyertaan dalam PN ini bukan bermakna kita boleh menganggap sudah selesa kerana kita perlu sedar UMNO bukan kekuatan dalam kerajaan PN. Bukan macam dulu, UMNO BN adalah parti yang menerajui kerajaan walau ada MCA dan MIC.

“Jadi, sempena ulang tahun ke-74 UMNO, saya berharap UMNO akan terus dengan agenda kita bersama MN. Kita harus jelas dan yakin bahawa jalan ke hadapan adalah untuk memenangi PRU-15 akan datang dan membentuk sebuah kerajaan di mana UMNO akan jadi parti yang akan menerajui kerajaan,” tegas beliau.

Justeru, Tajuddin menyeru kepada semua ahli UMNO agar serius memberi penumpuan dan laksanakan apa sahaja tindakan yang perlu ke arah kejayaan PRU-15.

“Sama ada UMNO boleh bangkit atau tidak, ia bergantung kepada ahli dan pemimpin UMNO. Sekiranya kita komited, sanggup berkorban tenaga dan masa, insh-Allah UMNO akan bangkit semula. Tapi kalau kita ambil sikap selesa dengan apa yang ada walau sedikit, maka sudah pasti apa yang kita harapkan tidak dapat dicapai.

“Dalam perjuangan ini, mesti sanggup berkorban apa sahaja kerana tanpa pengorbanan, tidak ada perjuangan,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.