Ulang Tahun Ke-74 UMNO: Syukuri Rencana Allah Untuk Jadikan UMNO Lebih Baik, Lebih Wibawa

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Esok, 11 Mei adalah tarikh ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-74 iaitu sejak 1946 yang lalu. Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak semua ahli-ahli UMNO mensyukuri segala rencana Allah untuk UMNO sepanjang usianya yang telah melalui pelbagai cabaran bagi menjadikan UMNO lebih baik, berwibawa dan beramanah.

Berikut kenyataan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sempena ulang tahun UMNO:

MEI 2018, sewaktu UMNO tewas dalam pilihanraya umum ke 14, pelbagai pihak telah mentalkinkan UMNO. Terngiang-ngiang lagi ucapan beberapa tokoh tertentu yang mengatakan ‘UMNO telah mati’, ‘UMNO telah musnah’ dan ‘UMNO telah menemui akhirnya’.

Hari ini, 11 Mei 2020, UMNO meraikan ulang tahunnya ke-74, menjadi sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional dan membentuk kerjasama politik Muafakat Nasional dengan seteru politik tradisionalnya, PAS. Demikianlah hayat UMNO dan betapa perjalanannya itu benar-benar rahsia Tuhan.

Tiada yang keramatnya tentang UMNO ini, tetapi yang pasti ialah orang Melayu dan Malaysia tidak boleh tidak mempunyai UMNO dalam politiknya.

Kepada orang Melayu, UMNO telah menjadi instrumen kemerdekaan, wadah pembaharuan, Kerajaan yang berjasa dan gerakan kebaikan yang luar biasa. UMNO telah meletakkan bangsa Melayu dalam kedudukan berkepentingan, berpengaruh dan berkesejahteraan.

Namun UMNO jauh dari sempurna dan ada khilaf. Kerana lumrah sifatnya yang tidak sempurna itulah, saya menyeru kita menggunakan kesempatan ulangtahun ke 74 UMNO ini untuk memperbaharui iltizam kita kepada UMNO.

Iltizam untuk tidak pernah jemu kepada pembaharuan dan pembaikan UMNO. Iltizam untuk tidak menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi.

Iltizam untuk menjadikan UMNO ini parti kepada semua bangsa Melayu dan bukan hanya sebahagian elit tertentu.

Iltizam untuk tidak mengulangi lagi segala kesalahan lepas yang menghakis keyakinan bangsa dan rakyat. Iltizam untuk benar-benar menjadi suara yang sebenar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Allah telah menguji UMNO dengan kemenangan dan kekalahan. Dengan izin Allah juga, UMNO terus berkelangsungan di sebalik segala kebaikan dan kelemahan kita. Marilah kita mensyukuri segala rencana Allah untuk UMNO dengan menjadikan UMNO ini lebih baik, berwibawa dan beramanah.

Ia adalah sang belahan jiwa yang harus di jaga dan dipelihara dengan sebaik-baik penjagaan. UMNO adalah amanah dari pendiri bangsa kepada generasi penerus. Kita hanya menjadi perantara, maka jadilah kita perantara yang terbaik.
Akhirnya, renunglah pesan pendirinya UMNO, Almarhum Dato’ Onn Bin Jaafar. “Kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita; jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan”.

Kita semua pasti mengerti maksudnya.

Selamat Hari Ulangtahun UMNO!!!

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.