Tempoh Rayuan BPN Dilanjutkan Sehingga 31 Mei – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Tempoh rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata selain menghantar e-mel, pemohon yang permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan bermula esok.

“Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa, 12 Mei.

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insya-Allah boleh diluluskan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab, antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap.

Katanya, terdapat juga permohonan yang ditolak kerana rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan, tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak. Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak,” katanya.

Beliau berkata sehingga semalam kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 bilion,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.