Permudahkan Urusan Tuntutan Elaun Kakitangan Yang Diumumkan Kerajaan – Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memahami terdapat aduan dan rintihan dari kakitangan barisan hadapan yang sukar untuk mendapatkan elaun yang telah diumumkan kerajaan.

Justeru beliau berharap Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ketua-ketua jabatan perlu permudahkan urusan tersebut yang mana prosedur untuk pekerja buat tuntutan elaun adalah sebagai garis panduan saja.

“Jangan terlalu ketat dengan birokrasi. Perlu lebih terarah kepada “adaptive culture”. Prosedur biasa tidak sama seperti keadaan kecemasan. Pemberian elaun kepada semua yang terlibat harus dibuat tanpa mengira kiraan jam bekerja.

“Tidak wujud unsur ketidakadilan kerana semua pekerja barisan hadapan dan belakang terdedah kepada bahaya. Risiko kepada semua adalah sama, iaitu nyawa,” katanya menerusi catatan di facebook.

Ahmad Zahid seterusnya mencadangkan cukup sahaja dengan lampiran maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan atau nombor kakitangan dan tidak perlu terlalu terperinci seperti tempoh jam bekerja dan lain-lain.

Tambahnya barisan hadapan, barisan belakang masing-masing mempertahankan negara dengan nyawa mereka, dengan meninggalkan waktu bersama keluarga mereka.

“Tiada keefisienan barisan hadapan tanpa keefisienan barisan belakang yang turut menjadi penyambung kepada rantaian tugas mulia tersebut. Jadi, permudah dan bantulah juga urusan mereka. Di pihak UMNO, kita sentiasa cakna dengan keadaan rakyat setiap masa.

“Saya juga terfikir bagaimana nasib segelintir lagi golongan yang Kerajaan atau KKM terlepas pandang iaitu kakitangan pembersihan dan petugas yang menyelenggara sistem hospital seperti juruteknik yang membersih sistem pendingin hawa. Jika virus tersebar melalui pendingin hawa, mereka adalah antara yang berisiko.

“Saya akan berbincang dengan YB Menteri Kesihatan terutama Barisan Menteri Kabinet UMNO agar nasib ‘frontliners’ terbela di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.