Cabaran UMNO Tawarkan Keunggulan, Kelainan Baharu Kepada Rakyat – Khaled

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cabaran utama parti kini adalah apakah yang UMNO ingin tawarkan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Ujarnya, UMNO perlu menawarkan keunggulan dan kelainan baharu yang boleh membezakannya dengan lain-lain parti dan seterusnya memberikan UMNO kelas tersendiri sebagai sebuah gerakan politik yang moden.

“Kita perlu renungkan dengan ikhlas soal ini kerana semenjak kita tidak mendapat sokongan rakyat untuk tidak menjadi kerajaan, kita belum lagi persembahkan tawaran kita. Selain dari kita bercakap soal UMNO ini membela bangsa, agama dan negara.

“Soal ini UMNO mesti realistik, mesti kemukakan kelainan, tanpa kelainan apa beza dengan parti yang lain.

“Maknanya UMNO mesti menawarkan sesuatu yang lebih unggul dan kelainan yang meletakkan kita dalam kelas, kedudukan dan pengaruh yang berbeza dari parti-parti yang lain,” katanya dalam segmen wawancara khas sempena sambutan Hari UMNO Ke-74 dengan topik ‘UMNO Mendepani Cabaran Politik Alaf Baru’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online.

Jelasnya, sebagai contoh apa yang UMNO pernah lakukan semasa menjadi kerajaan, selama lebih 60 tahun parti memberi kelainan dalam mentadbir.

“..mengurus perpaduan dalam negara dan melahirkan sebuah negara yang rakyatnya bersatu. Ini sangat unik dan membezakan kita dengan yang lain.

“Begitu juga mengurus pengagihan kekayaan melalui dasar yang diperkenalkan, membantu golongan bumiputera tetapi dalam masa yang sama kita tidak menyekat peluang untuk kaum bukan bumiputera.

“Akses pendidikan menjadi universal, berjaya melahirkan kelas menengah yang besar melalui dasar pengupayaan kita. Lihat juga sumbangan UMNO dalam mewujudkan kestabilan melalui politik, perkongsian kuasa yang sangat unik dan tentulah juga dengan pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.

Katanya, semua itu adalah kelainan yang UMNO bawa selama 61 tahun menjadikan negara membangun yang paling berjaya tanpa mengikut kayu pengukur dan cara orang lain.

“Jadi sekarang ini, apa dia kelainan-kelainan yang UMNO mesti tonjolkan. Saya percaya UMNO mempunyai pemikiran, kecerdasan, pendekatan baharu,” ujarnya.

Ulasnya juga, UMNO adalah sebagai sebuah parti politik yang telah lama yang mungkin tidak ada noktah, masa, tempoh perjuangannya dan akan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lama mahupun yang baharu.

Selain menghadapi cabaran utama katanya, UMNO juga perlu mengharungi cabaran berkaitan penyatuan antara ahli-ahli, perlu fikirkan soal pelan peralihan kepimpinan, kerusi-kerusi yang perlu diagihkan selaras dengan keadaan politik yang telah berubah, cabaran mengemukakan pelan strategi menghadapi senario-senario yang buruk kesan daripada COVID-19 serta membina imej parti yang telah berumur 74 tahun. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.