UMNO 74 Tahun: ‘Jatuh’, Hilang Kuasa Jadi ‘Recap Call’ UMNO Untuk Teruskan Wadah Perjuangan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 8 Mei –  Setiap perkara yang berlaku sudah tentu ada hikmahnya dan tidak pernah ada sia-sia apabila ditakdirkan buat pertama kali dalam sejarah UMNO ‘jatuh’ dan ‘hilang kuasa’ pada Mei 2018.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu adalah ‘recap call’ UMNO sebagai suatu wadah yang penuh dengan jasa dan baktinya.

“UMNO adalah sebuah parti yang penuh dengan khazanah bukan saja jasa dan baktinya dari segi sejarah tetapi juga idealisme perjuangannya yang luhur. Ini kerana UMNO lahir dari rahim yang cukup suci, tulus ketika dibentuk dan ditubuhkan.

“Tujuan pembentukan UMNO itu tidak lahir dari perasaan marah, benci, dendam, kecewa  tetapi ia lahir dari semangat penyatuan orang Melayu/Islam  untuk menyelamatkan negara dan menyatukan orang Melayu dengan satu matlamat iaitu kembalikan maruah bangsa dan agama.”

Dr Asyraf berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam wawancara khas menjelang Hari Ulang Tahun UMNO ke-74 tahun yang bertajuk ‘Daripada Pembangkang Kepada Kerajaan’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Mengulas lebih lanjut ujar Dr Asyraf, dekad demi dekad UMNO mentadbir negara sudah tentu ia tidak sunyi dari ujian demi ujian dan akhirnya UMNO tewas pada PRU lalu.

“Saat paling sukar apabila diuji dengan kuasa berada dikemuncak untuk UMNO pertahankan dan ia benar-benar berada pada landasan… tetapi akhirnya  UMNO jatuh,” katanya.

Tambah Dr Asyraf lagi, beliau tidak pernah rasa kecewa walaupun tewas pada 2018 lalu sebaliknya bersikap positif dan bermuhasabah.

“Apakah kita selama berkuasa itu benar-benar berada dalam landasan yang telah digariskan oleh nenek moyang kita yang mencetuskan dan melahirkan perjuangan ini iaitu A BA TA?

“Apakah ungkapan ini sedap meniti dibibir-bibir tetapi apakah kita menjiwainya dan memahaminya sebagai idealisme perjuangan dan menzahirkannya dalam amalan kita sehingga kita tidak perlu disokong oleh rakyat?” soalnya.

Sepanjang tempoh 21 bulan sebagai pembangkang, UMNO banyak melakukan pembaikan islah, perubahan dan proses pentarbiahan, kata beliau.

“Itulah kemanisan perjuangan yang dapat kita cungkil sebagai pembangkang dan saya rasa Alhamdulillah, Allah memberikan peluang dalam proses tersebut, demi kesinambungan perjuangan kita,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.