Pahang Setuju Laksana PKPB, Keluar SOP Hari Ini

KUANTAN, 8 Mei – Kerajaan negeri Pahang bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaannya, akan dikeluarkan hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan PKPB di negeri ini memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan, termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pematuhan SOP tersebut.

“Kerajaan negeri telah menurunkan kuasa kepada PBT di Pahang, seperti yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu (6 Mei) dan diperhalusi lagi dalam mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, hari ini.

“Ini bagi memastikan kesihatan awam atau rakyat terus terpelihara, apabila sektor ekonomi dan sektor awam tertentu dibuka semula seperti mana ditetapkan di bawah PKPB,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, tindakan kerajaan negeri adalah selari dengan kenyataan beliau pada 3 Mei lalu, yang menyokong keputusan kerajaan Persekutuan melaksanakan PKPB, namun memohon diberi masa untuk mengkaji dan memperhalusi SOP, bagi disesuaikan dengan situasi wabak COVID-19 di Pahang.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 mengumuman pelaksanan PKPB, yang membolehkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi mulai Isnin lalu, tertakluk kepada syarat dan SOP ditetapkan.

Tindakan itu perlu dilakukan kerana menurut Perdana Menteri, negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan, bagi membendung penularan wabak COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.